Dugaan menjelang Aidilfitri: Rumah dijilat api, lima keluarga tinggal sehelai sepinggang
Abd Razak Mohd Ali
Mei 11, 2021 14:54 MYT
Mei 11, 2021 14:54 MYT
TELUK INTAN: Ketika umat Islam sibuk membuat persiapan meraikan Aidilfitri, lima keluarga di Kampung Padang Tembak, di sini terpaksa akur dengan ketentuan Illahi selepas tinggal sehelai sepinggang apabila rumah mereka musnah dalam kebakaran pada malam Isnin.
Seorang mangsa, Bahudin Kulop Wahab, 70, berkata, ketika kejadian dia dan isterinya, Salamiah Dahari, 56, sedang berehat di rumah apabila terdengar letupan kuat dari rumah jiran.
Dia kemudiannya melihat sebahagian rumahnya sudah disambar api di samping rumah bersebelahan.
"Saya dan isteri terus keluar rumah untuk menyelamatkan diri. Saya cuba simbah dengan air tapi api terlalu marak. Saya sempat selamatkan motosikal tapi yang lain tak sempat nak ambil apa-apa, masa keluar pun saya cuma pakai kain pelikat sahaja,” katanya ketika ditemui di lokasi pada Selasa.
Sambil menyifatkannya sebagai dugaan berat menjelang Hari Raya, Bahudin tetap bersyukur kerana mereka terselamat.
Terdahulu, jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, mereka menerima panggilan mengenai kebakaran itu pada 9.47 malam.
Menurutnya, 53 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Teluk Intan, Hutan Melintang serta Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Teluk Intan, Langkap dan Batu 12 terlibat dalam operasi pemadaman yang tamat pada 12.30 pagi.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Changkat Jong, Datuk Mohd Azhar Jamaluddin yang ditemui di lokasi kejadian berkata, pihaknya sedang berusaha membantu mendapatkan tempat tinggal sementara kepada mangsa terlibat.
Menurutnya, ketika kejadian, 13 mangsa daripada empat keluarga berada di dalam rumah manakala seorang lagi pemilik tiada di rumah kerana menjalani rawatan di Selangor.
Katanya, setakat ini, dua keluarga akan ditempatkan sementara di Rumah Program Perumahan Rakyat (PPR) Laksamana, di sini manakala yang lain sedang diusahakan.
"Dari segi bantuan lain seperti keperluan makanan kita telah berikan kepada mangsa dan saya juga akan cadangkan agar tapak rumah sedia ada diberikan lot kepada mangsa ini kerana tanah tersebut milik kerajaan," ujarnya.
Mohd Azhar juga turut mencadangkan supaya kerajaan menyediakan rumah transit di setiap daerah bagi memudahkan mangsa-mangsa tragedi seperti kebakaran ditempatkan sementara mencari rumah baharu.
#kebakaran
#mangsa kebakaran
#letupan
#Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia
#Rumah Program Perumahan Rakyat Laksamana
#Aidilfitri