Dugaan membesarkan anak menderita kanser, Mazliana tak akan mengalah

Aza Jemima Ahmad
Mac 8, 2020 17:00 MYT
Kematian suami dan dugaan membesarkan anak sakit kanser tidak halang Mazliana terus berjuang. -Foto: Astro AWANI
MENAMPUNG dan membesarkan tiga orang anak kecil sebagai ibu tunggal pastinya mencabar dan memerlukan kecekalan mental dan fizikal.
Itulah yang perlu dilalui Mazliana Ahmad, 36 tahun, namun dia masih mampu mengukir senyuman sewaktu ditemu ramah oleh Astro AWANI, di kediamannya di Seremban, Negeri Sembilan.
Situasi Mazliana lebih mencabar kerana anak keduanya didiagnosis sebagai penghidap leukemia ketika berusia empat tahun.
“Pada 2016, kami mula mendapat tahu anak saya nombor dua itu menghidap leukemia.
“Mulanya kami lihat dia sentiasa penat dan tidur. Satu hari dia terjatuh, kami terus bawa ke hospital dan kami dapati kaki dia sudah lebam, dan (kemudian diberitahu) jumlah darah platlet sudah kurang.
“Doktor mengesahkan dia positif leukemia, kemudian terus dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk rawatan,” kata Mazliana.
Sebelum itu, Mazliana turut berkongsi kisah arwah suaminya yang juga pesakit kanser dan mengalami ketumbuhan di bahagian otak.
“Arwah suami saya seorang ahli tentera dan pernah ditugaskan ke Lubnan. Apabila dia balik, dia sakit dan perlu menjalani pembedahan otak.
“Selepas pembedahan, dia hilang ingatan. Dia tidak ingat apa-apa pun, termasuk saya, anak-anak dan rakan-rakan dia. Ketika di Unit Penjagaan Rapi (ICU), dia panggil saya ‘missy’,“ kata Mazliana dalam tabah menguntum senyum.
Dengan bantuan keluarganya, anak pertama dan ketiga dihantar ke Taiping untuk dijaga ibu bapa Mazliana sementara dia menjaga arwah suaminya dan anak keduanya yang sedang mendapatkan rawatan.
“Memang down, saya nangis selama tiga hari, tiga malam. Sampai suami saya cakap ‘ingat orang sakit suka ke tengok orang menangis’... sebab dia lagi sakit,” imbasnya.
Situasi pemergian arwah suaminya pada 2017 masih segar dalam ingatan Mazliana: “Dia meninggal dunia empat bulan selepas pembedahan sebab jangkitan kuman, dan dia pergi dalam keadaan hilang ingatan.”
“Tetapi saya terpaksa cepat move on, sebab ketika dia meninggal, duit gaji dia sudah kena sekat. Saya berfikir, duit gaji dah tidak ada.
“Nak atau tidak, dua minggu selepas dia meninggal, saya mulakan semula ambil tempahan untuk perniagaan kek dan roti,” katanya.
Kini, dengan bantuan keluarga dan ibu mertua yang tinggal berdeketan, Mazliana berjaya mengembangkan perniagaan dan menerima tempahan majlis-majlis korporat.
“Kalau ikutkan, kisah ini lebih tragis, tapi saya cuma cerita perkara penting sahaja.
“Untuk ibu-ibu dan mereka yang senasib, jangan terlalu meratap. Cuba keluar dari kesedihan tu, dan buat apa yang kita rasa kita boleh buat,” nasihat Mazliana.
Kini perniagaannya semakin berkembang, dan kini Mazliana berharap untuk membuka sebuah bakeri berdekatan kawasan perumahannya.
#Anak sakit kanser #hari wanita sedunia #Mazliana Ahmad
;