Duduk letak demokrasi ampuh di Malaysia

Prof Madya Dr Mohd Izani Mohd Zain
November 27, 2019 14:43 MYT
Institusi kerajaan dan Parlimen termasuk peranan ahli kedua-duanya mesti diperteguh kerana mereka adalah tunjang keberkesanan demokrasi.
DEMOKRASI di Malaysia seringkali disorot dalam konteks pilihan raya, hak mengundi dan kebebasan berpolitik rakyat Malaysia.
Meskipun pilihan raya adalah acara penting dalam demokrasi, demokrasi bukanlah soal pilihan raya semata-mata.
Dalam konteks amalan demokrasi, Malaysia mengamalkan doktrin pengasingan kuasa.
Ini bermakna tiga institusi tunjang demokrasi di negara, iaitu eksekutif atau kerajaan, legislatif atau Parlimen dan kehakiman mempunyai peranan tersendiri secara bebas.
Secara teori, kita melaksanakan doktrin pengasingan kuasa apabila ketiga-tiga institusi ini mempunyai peranan yang jelas.
Kerajaan berperanan melaksanakan dasar dan undang-undang, parlimen pula menggubal, meminda dan memansuhkan undang-undang manakala kehakiman menafsir undang-undang dan menjamin keadilan untuk semua rakyat berasaskan semangat keluhuran perlembagaan dan kedaulatan undang-undang.
Namun, secara praktiknya, doktrin pengasingan kuasa tidak dapat dijayakan sepenuhnya dalam konteks Malaysia.
Hal ini kerana ahli Kabinet juga adalah Ahli Parlimen. Maka di sinilah timbulnya situasi apa yang disebut sebagai fusion of power atau pertindanan kuasa.
Disebabkan ahli Kabinet juga Ahli Parlimen, sudah tentu undang-undang yang hendak digubal mesti memenuhi kepentingan dan hasrat kerajaan semasa.
Maka apabila berubah kerajaan, kepentingan ini juga turut berubah.
Sebagai contoh, semasa kerajaan Barisan Nasional (BN), mereka memperkenalkan beberapa akta antaranya, Akta Cukai Barang dan Perkhidmatan atau GST dan Akta Anti Berita Tidak Benar.
Namun kedua-dua akta ini dimansuhkan oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) kerana ia tidak selari dengan aspirasi mereka.
Bagaimanapun, bukan semua akta oleh kerajaan terdahulu dimansuhkan serta-merta oleh kerajaan semasa.
Terdapat akta yang ditambah baik sebelum diperkenalkan satu akta baharu misalnya, Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU).
Dalam aspek kebebasan berpolitik pelajar, ruang mereka berpolitik diperluaskan daripada hanya di luar kampus ke dalam kampus.
Sebelum ini, AUKU dipinda pada 2012 yang membenarkan pelajar berpolitik di luar kampus.
Namun, pada Disember 2018, AUKU sekali dipinda bagi membenarkan pelajar berpolitik dalam kampus. Pindaan 2018 ini selari dengan aspirasi kerajaan semasa untuk memberikan lebih banyak hak dan kebebasan kepada pelajar.
Selain itu, Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 atau SOSMA yang diperkenalkan oleh kerajaan terdahulu mahu dipinda oleh kerajaan semasa selari dengan manifesto mereka semasa Pilihan Raya Umum ke-14 tahun lalu.
Namun, kerajaan turut didesak oleh beberapa pihak untuk memansuhkan SOSMA kerana didakwa bercanggah dengan amalan hak asasi manusia.
Isu pemansuhan SOSMA ini banyak diperkatakan dan ia pernah diperdebatkan secara ilmiah di universiti, antaranya melalui Wacana Intelektual anjuran Fakulti Ekologi Manusia (FEM), Universiti Putra Malaysia (UPM) pada 25 Oktober lalu, mengupas tajuk “Keganasan dan Ancaman Keselamatan: Bersediakah Kita?”.
Sudah tentu dalam isu SOSMA dan keselamatan negara, kepentingan kerajaan untuk membuat keputusan mestilah membawa aspirasi dan kehendak rakyat terbanyak.
Soal keselamatan negara secara keseluruhan perlu menjadi pertimbangan utama daripada segala-galanya.
Isu rombakan Kabinet yang kerap kali muncul mutakhir ini sedikit sebanyak menumpukan perhatian kepada keberkesanan pelaksanaan demokrasi di negara.
Memandangkan di Malaysia ahli kabinet juga merupakan Ahli Parlimen, prestasi mereka disorot secara istimewa olah banyak pihak terutama rakyat selaku pengundi.
Meskipun Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad hanya berpuas hati dengan memberi 50 markah kepada prestasi menteri pada Mei lalu, rombakan Kabinet masih tinggal tanda tanya.
Jika berlaku perubahan Kabinet, ia juga memberi kesan dalam konteks keberkesanan Parlimen kerana semua menteri adalah Ahli Parlimen.
Timbul cadangan agar jawatan menteri dibuka kepada mereka yang layak termasuk kumpulan profesional, teknokrat dan ahli akademik seperti di Indonesia.
Namun perbezaan sistem politik tidak memudahkan kita melantik selain Ahli Parlimen atau ahli politik.
Kerajaan pernah melantik mantan Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Tan Sri Musa Mohamad sebagai Menteri Pendidikan Malaysia (1999-2004).
Namun selepas itu, semua menteri pendidikan termasuk pendidikan tinggi adalah Ahli Parlimen yang memenangi pilihan raya.
Selain aspek eksekutif, usaha mereformasikan institusi Parlimen seperti yang seringkali diuar-uarkan selama ini, terbantut dengan insiden ramai ahli parlimen yang ponteng.
Apa yang menyedihkan, sesi Parlimen kerap kali terpaksa ditangguhkan gara-gara tidak cukup korum.
Mana-mungkin reformasi institusi Parlimen boleh dijayakan sekiranya Ahli Parlimen kita sendiri gagal menghadirkan diri dalam sesi perbahasan.
Apa yang jelas, usaha memposisi demokrasi ampuh di Malaysia janganlah dibatasi dengan hal ehwal pilihan raya semata-mata.
Dalam setiap kali pilihan raya, rakyat telah menunaikan hak dan tanggungjawab mereka.
Kuasa rakyat telah banyak diterjemahkan dalam setiap kali pilihan raya umum dan kecil.
Dan mereka telah pun memilih kerajaan dan pemimpin yang mereka kehendaki.
Kini, rakyat menikmati dan meyaksikan perjalanan demokrasi negara dengan penuh minat.
Institusi kerajaan dan Parlimen termasuk peranan ahli kedua-duanya mesti diperteguh kerana mereka adalah tunjang keberkesanan demokrasi.

* Penulis ialah Profesor Madya di Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM). Beliau merupakan penganalisis politik yang sering memberi komentar dalam media tempatan mahupun antarabangsa.

** Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Astro AWANI.

#ahli Parlimen #Barisan Nasional #cukai #kabinet #kerajaan #Kolumnis #Mahathir Mohamad #Manifesto #Media #Pakatan Harapan #Parlimen #Perdana Menteri #pilihan raya #pilihan raya umum #politik #undang-undang #UPM
;