Duda didenda RM5,000 cederakan anak
Abd Razak Mohd Ali
Januari 5, 2021 13:07 MYT
Januari 5, 2021 13:07 MYT
TAIPING: Seorang duda didenda RM5,000 oleh Mahkamah Sesyen Taiping, Perak pada Selasa selepas mengaku bersalah mencederakan anak lelakinya yang berusia 10 tahun, hujung tahun lalu.
Tertuduh, Mohd Jamal Azrul Mohd Zainuddin, 35, membuat pengakuan itu selepas tuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Nizam Zakaria.
Hakim turut menetapkan hukuman penjara enam bulan sekiranya tertuduh gagal menjelaskan bayaran denda.
Bapa tiga anak itu yang bekerja sebagai tukang paip didakwa menyebabkan kecederaan fizikal di dahi, lengan kiri dan belakang badan anaknya di rumah bekas isterinya di Kampung Aman, Pokok Assam, Taiping kira-kira jam 1 tengahari, 27 Disember lalu.
Dia didakwa di bawah seksyen 31(1) Akta Kanak-kanak 2001.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Polis, Inspektor Siti Nor Rasyidah M. Nazri manakala tertuduh tidak diwakili peguam.