Duda anak empat berdepan tuduhan bunuh
Abd Razak Mohd Ali
Januari 17, 2018 14:36 MYT
Januari 17, 2018 14:36 MYT
Seorang duda anak empat dihadapkan ke Mahkamah Majistret Tanjung Malim di sini pagi Rabu atas tuduhan membunuh seorang penjual ikan di Slim River, Januari lalu.
Tertuduh, Zulkafli Abdullah, 47, didakwa melakukan perbuatan itu pada jam 2.30 pagi, 8 Januari lalu di hadapan sebuah rumah di Taman Slim Permai, Slim River.
Mangsa, Roslli Zulkharnain Kamaruddin, 30, meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Slim River akibat kecederaan parah selepas ditikam dengan sebilah pisau di perut.
Tertuduh mengangguk tanda faham ketika pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majisterit Intan Nurul Farena Zainal Abidin, namun tiada pengakuan direkodkan.
Mahkamah kemudiannya menetapkan 16 Febuari depan untuk sebutan semula kes di Mahkamah Slim River dan memberi peluang kepada tertuduh untuk mendapatkan khidmat peguam.
Pertuduhan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Aza Fyreen Abdul Aziz manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Terdahulu, tertuduh berpakaian lokap diiringi Pegawai Penyiasat IPD Mualim, Asisten Superintendan Wan Roszaman Wan Harun dan anggota polis IPD Mualim tiba di pekarangan mahkamah kira-kira jam 9 pagi.
Dalam laporan media sebelum ini, kes berkenaan berlaku berpunca daripada pergaduhan yang berkesudahan mangsa ditikam di bahagian perut.
Dalam kejadian itu, tertuduh juga mengalami kecederaan di bahagian belakang kepala dikatakan akibat dihentak di atas jalan raya.
#duda anak empat
#Mahkamah Majistret Tanjung Malim
#penjual ikan
#Roslli Zulkharnain Kamaruddin
#Slim River
#Taman Slim Permai
#tuduhan bunuh
#Zulkafli Abdullah