Dua warga tempatan ditahan, terlibat sindiket seludup diesel bersubsidi
Muhammad Aiman Hakeem
Jun 1, 2022 23:32 MYT
Jun 1, 2022 23:32 MYT
PASIR GUDANG: Satu sindiket yang aktif menyeludup minyak diesel bersubsidi di sekitar Johor Bahru berjaya dipatahkan Batalion 5 Pasukan Gerakan Am (PGA), menerusi serbuan di sebuah premis di Kawasan Perindustrian Pasir Gudang, di sini, pada Rabu
Pegawai pemerintahnya, Superintendan Mohd Razali Melin berkata, dua lelaki tempatan berumur 29 dan 31 tahun yang dipercayai terlibat dalam kegiatan itu turut ditahan kira-kira jam 12.45 tengah malam.
Katanya, hasil serbuan berjaya merampas 22,000 liter minyak diesel subsidi berserta kenderaan dan peralatan sindiket yang dianggarkan bernilai RM357,200
“Pemeriksaan ke atas saspek mendapati mereka gagal mengemukakan sebarang dokumen memiliki, menyimpan dan membawa barang kawalan.
“Siasatan awal mendapati sindiket telah beroperasi selama tempoh dua bulan dan seorang suspek dipercayai bertindak sebagai penjaga premis manakala seorang lagi suspek bertindak sebagai pemandu lori.
“Serbuan menerusi Op Kontraban itu turut membuat rampasan ke atas dua skid tangki kapasiti 20,000 liter, tong putih kapasiti 1,000 liter, dua mesin pam dan empat buah lori.
“Dua tangkapan dan rampasan ini berjaya memutuskan satu rangkaian sindiket penyeludupan minyak diesel bersubsidi di sekitar daerah Johor Bahru,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan, hari ini.
Menurut Mohd Razali, kesemua suspek bersama barang rampasan telah diserahkan kepada pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Johor untuk siasatan lanjut mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.