Dua warga Pakistan ditahan, disyaki bunuh rakan senegara

Bernama
Mac 2, 2021 06:52 MYT
Beh ketika sidang media berhubung rampasan mercun, kes ragut dan kes bunuh di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul, Kuala Lumpur, 2 Mac, 2021. --fotoBERNAMA
KUALA LUMPUR: Hutang dipercayai motif pembunuhan seorang lelaki warga Pakistan yang mayatnya ditemukan di sebuah rumah di Jalan Sentul di sini pada 18 Feb lalu.
Ketua Polis Daerah Sentul ACP Beh Eng Lai berkata ini susulan penangkapan dua lelaki rakan senegara mangsa.
Kedua-dua lelaki berusia 22 dan 40 tahun tersebut ditangkap pada hari sama dan siasatan mendapati mangsa berhutang beberapa ribu ringgit dengan suspek, katanya pada sidang media, di sini semalam.
Katanya dalam kejadian 18 Feb itu, mayat pekerja restoran tersebut ditemukan dalam keadaan tertiarap di atas lantai di dalam bilik tidurnya oleh rakan sekerja mangsa dan dipercayai telah meninggal dunia kira-kira 10 jam sebelum mayatnya ditemukan.
“Mayat dibawa ke Hospital Kuala Lumpur dan bedah siasat mendapati ada unsur jenayah memandangkan terdapat kecederaan pada leher mangsa akibat tetakan,” katanya.
Beh berkata kedua-dua suspek yang tidak mempunyai rekod jenayah lampau direman selama 14 hari hingga 7 Mac ini bagi membantu siasatan menurut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
-- BERNAMA
#polis #Pakistan #warga Pakistan #hutang #Sentul #Beh Eng Lai #jenayah #bunuh #pekerja restoran #mayat #cedera #Tetak #mangsa #suspek #reman
;