Dua warga Myanmar, seorang lelaki didakwa bunuh penganggur

Bernama
Oktober 30, 2024 20:30 MYT
Ketiga-tiga lelaki itu didakwa membunuh P. Rajentiran, 34, di rumah kongsi Kilang NHK Golden Way Sdn Bhd dalam daerah Batang Padang dekat sini pada 2.30 pagi hingga 4 pagi, 21 Okt lepas. - Gambar Bernama
KAMPAR: Seorang pemandu traktor dan dua warga Myanmar didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh seorang lelaki minggu lepas.
R. Vijay, 33, serta dua lelaki warga Myanmar iaitu Sein Min Htay, 37, dan Kyaw Thet Win, 28, mengangguk faham selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Majistret A. Hafiizh Abu Bakar.
Tiada pengakuan direkodkan kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi dan mahkamah menetapkan 20 Nov ini untuk sebutan semula kes sementara menunggu laporan kimia dan bedah siasat.
Ketiga-tiga lelaki itu didakwa membunuh P. Rajentiran, 34, di rumah kongsi Kilang NHK Golden Way Sdn Bhd dalam daerah Batang Padang dekat sini pada 2.30 pagi hingga 4 pagi, 21 Okt lepas.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati atau penjara hingga 40 tahun dan jika tidak dihukum mati hendaklah dihukum sebat minimum 12 sebatan, jika sabit kesalahan.
Sein dan Kyaw juga masing-masing menghadapi satu pertuduhan berada di Malaysia tanpa dokumen perjalanan yang sah seperti yang disyaratkan di bawah Seksyen 6 (1)(C) Akta Imigresen 1959/1963 (Pindaan Akta 2002).
Pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 6 (3) Akta Imigresen 1959/1963 yang membawa hukuman denda maksimum RM10,000 atau penjara hingga lima tahun atau kedua-duanya, dan hendaklah juga sebatan tidak lebih enam sebatan, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Inspektor Hadi Enche Zahari manakala ketiga-tiga tertuduh tidak diwakili peguam.
-- BERNAMA
#Akta Imigresen #bedah siasat #Mahkamah Majistret #Seksyen 302 Kanun Keseksaan
;