Dua warga Myanmar ditahan terlibat sindiket pemalsuan slip permohonan kad UNHCR

Bernama
April 22, 2024 23:15 MYT
Jabatan Imigresen Kelantan menahan dua lelaki warga Myanmar disyaki terlibat sindiket mengeluarkan slip permohonan kad UNHCR palsu dalam operasi di Kampung Padang Kala, Melor awal pagi semalam. - Gambar hiasan
KOTA BHARU: Jabatan Imigresen Kelantan menahan dua lelaki warga Myanmar disyaki terlibat sindiket mengeluarkan slip permohonan kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) palsu dalam operasi di Kampung Padang Kala, Melor awal pagi semalam.
Timbalan Pengarah Jabatan Imigresen (Kawalan) Kelantan Ruzaana Mohamed berkata kedua-dua lelaki berusia lingkungan 20-an itu ditahan di rumah suspek menerusi Ops Sapu/Kutip.
"Suspek pertama berusia 26 tahun dikesan menggunakan kad UNHCR yang sah dan tulen. Suspek juga mengaku semua peralatan dirampas adalah miliknya termasuk wang tunai disimpan dalam peti besi.
"Suspek ditahan dipercayai dengan munasabah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 55 D Akta Imigresen 1959/63 (Pemalsuan dan pindaan bagi pengendorsan atau dokumen) manakala seorang lagi suspek ditahan di bawah Seksyen 6(1) (c) Akta Imigresen 1959/63," katanya dalam kenyataan hari ini.
Ruzaana berkata semasa pemeriksaan dijalankan telah menemukan satu unit komputer riba, peti besi, mesin pencetak, mesin lamina, dakwat pencetak berbagai warna, tiga unit kamera litar tertutuo, satu unit pemacu data dan wang tunai RM928 milik suspek.
Turut dirampas telefon bimbit jenama Iphone dan Vivo milik suspek mengandungi salinan slip UNHCR dipercayai telah dipalsukan selain slip permohonan kad UNHCR yang digunakan untuk mendapatkan Kad UNHCR secara tidak sah.
"Pendatang berkenaan dihantar ke Depot Imigresen Tanah Merah untuk tindakan lanjut. Pihak imigresen menggesa orang ramai untuk tampil menyalurkan maklumat tentang pendatang atau sebarang aktiviti warga asing yang menyalahi undang-undang," katanya.
-- BERNAMA
#Jabatan Imigresen Kelantan #warga myanmar #sindiket pemalsuan #kad UNHCR
;