Dua warga Myanmar ditahan bantu kes bunuh pemandu Grab
Sinar Harian
Jun 26, 2018 17:17 MYT
Jun 26, 2018 17:17 MYT
Polis menahan sepasang warga Myanmar bagi membantu siasatan kes pemandu Grab, Aiman Nosri yang ditemui mati dengan kesan jerutan pada leher di Selayang dekat sini Sabtu lepas.
Timbalan Ketua Polis Daerah Gombak Superintendan Tey Kong Seng berkata, pihaknya menahan seorang lelaki dan seorang wanita masing-masing berusia lingkungan 20-an dan 30-an di sekitar Selayang pada pukul 1 pagi ini.
“Siasatan lanjut masih dilakukan dan kedua-dua mereka ditahan untuk membantu siasatan,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini.
Beliau berkata polis telah mengenal pasti identiti penumpang terakhir yang diambil mangsa dipercayai menggunakan perkhidmatan e-hailing GrabCar daripada pihak pengurusan perkhidmatan itu.
Sementara itu, hasil bedah siasat terhadap mayat mendapati mangsa sesak nafas sebelum mati selain terdapat kesan melecet dipercayai dijerut namun punca kematiannya disebabkan sesak nafas kerana didakwa ditekup menggunakan baju-T miliknya.
Motif pembunuhan masih disiasat dan siasatan awal polis turut mendapati dompet dan telefon bimbit milik mangsa hilang dalam kejadian itu.
Kira-kira pukul 8.20 malam Sabtu lepas, Aiman, 27, ditemui mati dalam keadaan tertungkup di tempat duduk belakang kereta dipercayai dibunuh dengan kesan jerutan pada leher di dalam kereta jenis Perodua Myvi miliknya di parkir Taman Selayang Makmur di sini.
Berdasarkan rekod, mangsa dikatakan kali terakhir membawa penumpang dari Jalan Tun Tan Cheng Lock menuju ke Selayang Baru.
#Aiman Nosri
#bunuh
#e-hailing
#GrabCar
#mayat
#Myanmar
#polis
#Selayang
#Selayang Baru
#siasatan
#Tey Kong Seng
#Tun Tan Cheng Lock