Dua warga Filipina mengaku bersalah miliki MyKad dan resit kehilangan MyKad palsu

Raffi Bachik
Februari 2, 2018 12:59 MYT
Abdullah Hawaji, 50 tahun mengaku bersalah memiliki MyKad palsu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Lee Kim Keat. - Astro AWANI
Seorang lelaki warga Filipina dipenjara enam bulan manakala seorang lagi rakan senegaranya didenda RM5,000 oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh hari ini atas dua kesalahan berbeza, memiliki mykad dan resit laporan kehilangan kad pengenalan palsu, minggu lalu.
Tertuduh, Abdullah Hawaji, 50 tahun dan seorang lagi rakan senegaranya, Umar Baco, 51 tahun dijatuhi hukuman itu sejurus membuat pengakuan bersalah di dua mahkamah berasingan.
Mengikut pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Lee Kim Keat, Abdullah didapati memiliki mykad palsu atas nama Mohilin bin Ali, nombor kad pengenalan 670520-12-5767 beralamat di Kampung Pancuran 91100 Lahad Datu Sabah.
Manakala di hadapan Majistret Mohd Firdaus Salleh, Umar didapati memiliki resit laporan kehilangan kad pengenalan palsu atas nama Umar bin Baco, kad pengenalan h0537362/580501-12-5295 di beralamat di Kampung Air, Semporna, Sabah.
Kedua-dua mereka melakukan kesalahan itu di dalam kawasan Tangga Batu pada 27 Januari lalu di bawah Peraturan 25(1)(e) Akta Pendaftaran Negara 1959 dan Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 (pindahan 2007).
Bagi kesalahan itu, kedua-dua tertuduh boleh dipenjara sehingga tempoh tiga tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Majistret Lee Kim Keat kemudian menjatuhi hukuman penjara selama enam bulan terhadap Abdullah, bermula dari tarikh ditangkap manakala di mahkamah berasingan, Majistret Mohd Firdaus menjatuhi hukuman denda RM5,000 terhadap Umar selepas tertuduh membuat pengakuan bersalah dan jika gagal membayar denda berkenaan, Umar diperintah menjalani hukuman penjara selama tempoh lima bulan.
Mengikut fakta kes, kedua-dua tertuduh juga didapati memiliki kad pekerja Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) palsu.
Terdahulu, kedua-dua prosiding dikendalikan Pegawai Pendakwa Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Melaka, Mohd Nasrom Yusof memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada pendatang asing tanpa izin (PATI) yang lain untuk tidak sewenang-wenangnya menggunakan dokumen pengenalan palsu.
Manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.
#Filipina #Lahad Datu #lelaki #mahkamah #Mahkamah Majistret #Mykad palsu #pati #penjara #Semporna
;