Dua warga emas rugi lebih RM5 juta terperdaya skim pelaburan tidak wujud
Bernama
Februari 7, 2025 23:46 MYT
Februari 7, 2025 23:46 MYT
Bagi tujuan pelaburan, salah seorang mangsa diminta untuk membuat 15 transaksi bayaran melibatkan tiga akaun bank berbeza berjumlah RM3.21 juta. - Gambar hiasan
SHAH ALAM: Dua warga emas terpaksa menanggung kerugian lebih RM5 juta selepas terperdaya dengan skim pelaburan tidak wujud menerusi Facebook.
Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata bagi kes pertama, seorang lelaki berusia 77 tahun mula menyertai pelaburan dikenali sebagai Efa Trade yang didakwa mampu memberikan pulangan lumayan pada penghujung November tahun lepas.
Beliau berkata pesara sektor swasta itu telah diyakinkan untuk membuat pelaburan dalam 27 kaunter saham Efa Trade iaitu syarikat pelaburan antarabangsa berpangkalan di Singapura.
Bagi tujuan pelaburan itu, mangsa diminta untuk membuat 15 transaksi bayaran melibatkan tiga akaun bank berbeza berjumlah RM3.21 juta, katanya.
"Pada penghujung Januari lepas, pihak Efa Trade menyatakan syarikat berkenaan akan ditutup dan setiap pelabur dikehendaki membayar komisen sebanyak 15 peratus kepada pihak syarikat dari hasil keuntungan untuk membolehkan para pelabur mengeluarkan keuntungan.
"Syarikat itu juga telah menunjukkan hasil pelaburan mangsa telah mencecah RM2 juta dalam aplikasi Efa Pro," katanya dalam kenyataan di sini pada Jumaat.
Beliau berkata mangsa sedar telah terperdaya apabila mendapati dokumen pelaburan yang diberikan adalah palsu dan tampil membuat laporan polis.
Dalam satu lagi kes, Hussein berkata, seorang lelaki berusia 70 tahun kerugian RM2.21 juta setelah terperdaya dengan pelaburan mata wang kripto tidak wujud dalam talian.
Beliau berkata siasatan mendapati mangsa telah berkenalan dengan seorang lelaki tempatan menerusi aplikasi Facebook yang menawarkan pelaburan matawang kripto pada Oktober tahun lepas sebelum pesara swasta itu dimasukkan ke kumpulan WhatsApp UVKXE.
Menurutnya mangsa telah menyertai pelaburan tersebut dan membuat 18 transaksi bayaran dengan jumlah keseluruhan RM2,210,136 tetapi tidak pernah menerima sebarang keuntungan sebelum tampil membuat laporan polis.
Kedua-dua kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan beliau meminta masyarakat supaya sentiasa berwaspada terhadap sebarang jenis tawaran pelaburan menerusi platform media sosial yang menjanjikan pulangan tidak munasabah khususnya melibatkan aplikasi kewangan atau pelaburan yang tidak diluluskan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) atau Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC).
-- BERNAMA