Dua warga emas maut, kereta terbabas bertembung lori ikan
Adie Sufian Zulkefli
Mac 29, 2024 18:31 MYT
Mac 29, 2024 18:31 MYT
YAN: Perjalanan tiga sahabat untuk belajar agama di sebuah Pusat Pengajian Pondok bertukar tragedi apabila dua daripadanya maut manakala seorang lagi parah selepas kereta yang mereka naiki bertembung dengan sebuah lori mambawa muatan ikan di Jalan Sungai Limau Dalam, di sini pada Jumaat.
Mangsa yang maut dikenal pasti Zabidah Bakar, 75, dan rakannya Naemah Mohamad, 70, selepas mengalami kecederaan parah di kepala dan badan.
Ketua Polis Daerah Yan, Deputi Superintenden Shahnaz Akhtar Haji berkata, dalam kejadian jam 10.50 pagi itu, ketiga-tiga mangsa menaiki kereta jenis Produa Myvi yang dipandu Naemah manakala Zabidah duduk di tempat duduk hadapan manakala seorang lagi rakan mereka Faridah Awang Dahman, 66, berada di bahagian penumpang belakang.
“Siasatan awal di tempat kejadian mendapat kereta dinaiki ketiga-tiga warga emas itu bergerak dari arah Sungai Limau Yan dalam perjalanan ke arah Kuala Kedah manakala lori membawa muatan ikan datang dari arah Kuala Kedah.
“Tiba-tiba kereta yang dipandu Naemah hilang kawalan lalu memasuki laluan bertentangan dan kerana jarak terlalu dekat, pemandu lori hanya sempat mengelak sedikit ke kiri namun bertembung berhadapan,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI.
Shahnaz berkata, Naemah tersepit di tempat duduk pemandu dan maut di tempat kejadian manakala Zabidah disahkan meninggal dunia pada jam 12.05 tengah hari ketika sedang dirawat di Hospital Yan.
Manakala keadaan Faridah tidak stabil dan masih dirawat rawatan di Unit Kecemasan Hospital Yan.
Sementara pemandu lori berusia 25 tahun mengalami patah kaki manakala kelindan berusia 22 tahun hanya cedera ringan masih menerima rawatan di hospital sama.
“Mayat kedua-dua mangsa telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Yan untuk bedah siasat.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.