Dua warga emas ditahan dalam Ops Bersepadu
Bernama
Julai 6, 2014 14:58 MYT
Julai 6, 2014 14:58 MYT
Dua warga emas antara lapan lelaki yang ditahan dalam Ops Bersepadu membanteras kegiatan judi haram di Taman Cempaka di sini malam tadi.
Pegawai Turus Cawangan Kongsi Gelap, Maksiat dan Perjudian (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak DSP Zailani Mohd Yussof berkata dalam operasi selama empat jam bermula 9.30 malam itu, tiga premis kafe siber diserbu.
"Sebanyak 63 set komputer dan wang tunai RM260 turut dirampas melibatkan nilai RM126,000," katanya kepada pemberita di sini, awal pagi tadi.
Menurut Zailani, kebanyakan pintu masuk utama premis berkenaan dipasang dengan kamera litar tertutup (CCTV) bagi menghidu kehadiran pihak berkuasa.
"Pintu belakang premis berkenaan mempunyai sistem kawalan untuk memudahkan mereka melarikan diri sekiranya diserbu pihak berkuasa," katanya.
Mereka yang ditahan berusia antara 30-an dan 60-an.
Zailani berkata premis terbabit pernah diserbu sebelum ini, namun pemiliknya masih berdegil menjalankan kegiatan yang sama.
Beliau berkata operasi itu membabitkan 25 anggota polis dari cawangan D7 dan 24 anggota penguatkuasa Majlis Bandaraya Ipoh (MBI).
Katanya kes itu disiasat mengikut Seksyen 4 B(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Seksyen 6(1) Enakmen Hiburan.
Sementara itu, Pengarah Perlesenan dan Penguatkuasaan Bandaraya Zulkifle Jaafar Sidek berkata ketiga-tiga premis berkenaan didapati tidak mempunyai lesen perniagaan.
"Pihak majlis memandang berat hal ini. Kita akan terus membanteras kegiatan judi haram agar ia tidak berleluasa di Perak," katanya.