Dua warga China maut, 19 selamat bas persiaran terbalik di Genting Highlands
Bernama
Jun 29, 2024 12:56 MYT
Jun 29, 2024 12:56 MYT
KUALA LUMPUR: Dua lelaki warga China maut manakala 19 penumpang lagi terselamat selepas bas persiaran dinaiki mereka terbalik ketika dalam perjalanan turun dari Genting Highlands kira-kira 11 pagi tadi.
Pengarah Bomba Pahang Datuk Dr Wan Mohamad Zaidi Wan Isa berkata dua lelaki itu maut akibat mengalami kecederaan di kepala.
"Kedua-dua mayat dihantar ke Hospital Bentong, Pahang," katanya ketika dihubungi.
Wan Mohamad Zaidi berkata bas berkenaan membawa 21 penumpang terdiri daripada 18 penumpang warga China manakala pemandu bas dan dua pemandu pelancong adalah warga tempatan.
Terdahulu, tular video berdurasi 21 saat memaparkan situasi kemalangan bas persiaran itu dengan kelihatan beberapa anggota keselamatan telah berada di lokasi kejadian.
-- BERNAMA