Dua warga Bangladesh mengaku salah sogok polis RM100

Abd Razak Mohd Ali
Mac 1, 2022 12:56 MYT
Kedua-dua tertuduh mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Ipoh hari ini atas tuduhan memberi suapan RM100 kepada seorang anggota polis berpangkat koperal di hadapan RHB Bank Cawangan Silibin di Ipoh tahun lalu. - Foto Astro AWANI
IPOH: Dua lelaki warga Bangladesh mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Ipoh di sini hari ini atas tuduhan memberi rasuah wang tunai RM100 kepada seorang anggota polis, tahun lalu.
Tertuduh, Ali Alhaj, 30 tahun, dan Mia Md Somon, 25 tahun, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan serentak di hadapan Hakim M Bakri Abd Majid.
Mengikut kertas pertuduhan, mereka didakwa secara rasuah memberi suapan wang tunai RM100 kepada seorang anggota polis berpangkat koperal.
Ia sebagai balasan bagi melepaskan mereka daripada diambil tindakan undang-undang bagi kesalahan di bawah Seksyen 6(1) Akta Imigresen 1959/63.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di hadapan RHB Bank Cawangan Silibin, di sini, kira-kira jam 10.30 pagi, 16 Nov 2021.
Mereka dituduh di bawah Seksyen 214 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara selama tempoh tidak sampai dua tahun, atau dengan denda, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM5,000 terhadap setiap tertuduh atau penjara dua bulan, jika gagal membayar denda.
Wang rasuah berjumlah RM100 dilucuthakkan di bawah Seksyen 40(1)(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 kepada Kerajaan Malaysia.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Maziyah Mansor manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.
#polis #warga Bangladesh #Akta Imigresen #rasuah RM100
;