Dua warga asing yang maut ditembak, aktif samun pelanggan bank

Bernama
Mei 31, 2017 16:00 MYT
Din (gambar) berkata seorang daripada suspek yang berada di tempat duduk penumpang hadapan telah keluar dan melepaskan tembakan ke arah kenderaan polis dan mengenai bahagian cermin serta badan kenderaan tersebut. - Gambar fail
Dua lelaki warga asing yang ditembak mati oleh polis malam tadi adalah daripada 'Geng Wani' yang aktif melakukan samun terhadap mangsa yang baru mengeluarkan wang daripada bank, kata Pemangku Ketua Polis Kelantan, SAC Din Ahmad.
Beliau berkata suspek berjaya dikenal pasti berdasarkan maklumat daripada polis Bukit Aman.
Susulan maklumat yang diperoleh itu, polis Kelantan berjaya menahan dua suspek warga asing yang bermotosikal di Salor di sini, semalam kerana dilihat dalam keadaan mencurigakan dan siasatan terhadap suspek tersebut mendedahkan terdapat dua lagi rakan mereka berada di sekitar Kota Bharu dengan niat tertentu, katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan di sini hari ini.
Din berkata anggota polis yang membuat rondaan di sekitar Wakaf Che Yeh di sini, malam tadi, terserempak dengan sebuah kereta Proton Wira yang dinaiki dua suspek pada pukul 9.40 malam.
"Ketika diekori, suspek dipercayai menyedari kehadiran polis sebelum memecut ke arah Jalan Salor-Pasir Mas. Ketika cuba melarikan diri ke satu lorong, suspek tersekat kerana polis sudah membuat sekatan jalan raya, " katanya.
Beliau berkata seorang daripada suspek yang berada di tempat duduk penumpang hadapan telah keluar dan melepaskan tembakan ke arah kenderaan polis dan mengenai bahagian cermin serta badan kenderaan tersebut.
Katanya polis kemudian membalas tembakan dan mengenai suspek itu manakala seorang lagi rakannya telah keluar dan cuba menyerang anggota polis menggunakan parang tetapi turut ditembak mati.
"Dua suspek yang berusia antara 35 dan 45 tahun itu adalah warga Indonesia tetapi seorang daripadanya sudah mendapat taraf penduduk tetap (PR) yang beralamat di Johor," katanya.
Din berkata siasatan mendapati modus operandi kumpulan ini ialah menempatkan rakan mereka di dalam bank dan memberikan maklumat kepada rakan subahat sekiranya mendapati ada pelanggan bank mengeluarkan wang dalam jumlah yang banyak.
Katanya kumpulan ini seterusnya akan mengekori mangsa sebelum menyamun di kawasan yang strategik menggunakan senjata yang dimiliki.
"Hasil siasatan yang dilakukan polis percaya kumpulan ini sudah melakukan samun di sini (Kota Bharu) dengan jumlah kerugian yang dialami mangsa lebih kurang RM400,000.
Din berkata dalam kejadian itu, polis merampas sepucuk pistol jenis 0.38 dan dua bilah parang daripada suspek.
-- BERNAMA
#Geng Wani #pelanggan #polis #SAC Din Ahmad #samun
;