Dua warga asing ditahan seludup barang bersubsidi
Ruzaini Zulkepli
Oktober 23, 2017 18:19 MYT
Oktober 23, 2017 18:19 MYT
Tindakan dua lelaki warga asing menyeludup keluar barangan bersubsidi ke negara jiran tidak berjaya apabila kedua-dua mereka ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di 0.2 batu nautika berhampiran perairan Esplaned Kudat di sini semalam.
Kedua-dua suspek yang menaiki bot pancing itu berjaya dikesan bot peronda APMM yang sedang menjalankan operasi Op Pluto Timur dalam keadaan mencurigakan di sekitar perairan Kudat kira-kira pukul 8.45 malam.
Pengarah Maritim Daerah Kudat Leftenan Komander Maritim Boon Chin Chau berkata, kedua-dua lelaki dipercayai warga Filipina yang ditahan itu berusia 26 dan 38 tahun.
Katanya, pemeriksaan ke atas bot pancing yang dinaiki suspek menemui sembilan gas petroleum cecair (LPG) bersubsidi, 850 kilogram (kg) minyak masak, gula (24kg) dan tepung gandum sebanyak 710 gram bernilai RM8,070.
"Hasil pemeriksaan mendapati, suspek yang menaiki bot pancing itu dipercayai menyeludup keluar beberapa barangan bersubsidi itu ke negara jiran," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Tambah Boon, semua barangan dan tangkapan dibawa ke jeti APMM Kudat untuk membantu siasatan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 serta Enakmen dan Peraturan Dermaga 2002.
Mengulas lanjut, APMM Kudat sentiasa meningkatkan pemantauan dan rondaan dalam usaha membenteras sepenuhnya aktiviti menyalahi undang-undang maritim terutamanya di daerah itu.
#APMM
#barang bersubsidi
#bot pancing
#Leftenan Komander Maritim Boon Chin Chau
#Op Pluto Timur
#seludup