Dua warga asing ditahan guna kenderaan tempatan seludup petrol

Bernama
Julai 28, 2024 14:30 MYT
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kedah menahan dua warga Thailand yang disyaki menggunakan kenderaan tempatan untuk menyeludup minyak petrol ke negara jiran. - Foto hiasan/REUTERS
ALOR SETAR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kedah menahan dua warga Thailand yang disyaki menggunakan kenderaan tempatan untuk menyeludup minyak petrol ke negara jiran.
Pengarah KPDN Kedah Muhammad Nizam Jamaludin berkata kedua-dua suspek iaitu seorang lelaki berusia 21 tahun dan wanita berusia 39 tahun ditahan dalam sekatan jalan raya di Jalan Durian Burung menghala ke Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Kota Putra, Durian Burung pada 12 tengah hari semalam.
"Pasukan penguatkuasa telah menerima serahan kes daripada Pasukan Gerakan Am yang melibatkan dua kenderaan bernombor pendaftaran tempatan bersama dua pemandu warga Thailand kerana disyaki memiliki barang kawalan iaitu minyak petrol untuk diseludup ke Thailand.
"Hasil pemeriksaan terhadap dua kereta jenis Proton Wira itu telah menjumpai tangki ubah suai yang mengandungi bahan api disyaki petrol kira-kira 130 liter bagi setiap kereta. Keseluruhan minyak petrol yang dirampas sebanyak 260 liter bernilai RM533," menurutnya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata Mahkamah Majistret Kuala Nerang telah mengeluarkan perintah tahanan reman terhadap kedua-dua suspek selama empat hari bermula hari ini bagi melengkapkan siasatan kes itu.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122) dibaca bersama Peraturan 3 Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.
"KPDN memberi amaran keras kepada semua pihak yang berurusan dengan barangan kawalan dan bersubsidi supaya sentiasa mematuhi perundangan yang dikuatkuasakan dan kementerian tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang telibat dalam aktiviti penyelewengan itu," katanya.
-- BERNAMA
#KPDN Kedah #warga asing ditahan #seludup petrol #Muhammad Nizam Jamaludin