Dua warga asing diberkas bersama 4,000kg kulit kayu bakau
Radhi Muslim
November 17, 2019 09:20 MYT
November 17, 2019 09:20 MYT
Dua warga asing diberkas bersama 4,000 kilogram kulit kayu bakau di kawasan Hutan Simpan Sungai Sugut, di sini, pada Sabtu.
Dalam kejadian kira-kira jam 5 petang, suspek lelaki berumur 36 dan 37 tahun itu dipercayai warga Filipina.
Pegawai Memerintah Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 20 Beluran, ACP Mohd Nasaruddin M Nasir berkata, sebelum kejadian, pihaknya yang sedang menjalankan Op Khazanah terserempak dua lelaki terbabit di hutan berkenaan.
Kedua-duanya ketika itu sedang leka memotong kayu bakau dengan menggunakan kapak.
Menurutnya, lokasi berkenaan kemudiannya diperiksa lalu pihaknya menemui empat longgokan kayu bakau dianggarkan bernilai RM52,000.
"Turut ditemui dan dirampas, tiga sampan kecil, tukul dan kapak, disyaki digunakan untuk kegiatan terbabit.
"Kedua-dua suspek kemudiannya ditangkap untuk tindakan lanjut," katanya dalam satu kenyataan tengah malam tadi.
Katanya, suspek dilaporkan tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah dan ditangkap kerana dipercayai menceroboh hutan simpan berkenaan.
Foto ihsan Pasukan Polis PGA Sabah
#Beluran
#Filipina
#hutan simpan
#Hutan Simpan Sungai Sugut
#kayu bakau
#Mohd Nasaruddin M Nasir
#polis
#suspek
#warga asing