Dua wanita warga emas rugi lebih RM300,000 diperdaya 'phone scam'
Bernama
Januari 16, 2025 19:05 MYT
Januari 16, 2025 19:05 MYT
KUANTAN: Dua wanita warga emas di Pahang kerugian RM327,829 selepas menjadi mangsa sindiket penipuan dalam talian yang menyamar sebagai pegawai polis dan pegawai Bank Negara Malaysia (BNM).
Ketua Polis Pahang Datuk Seri Yahaya Othman berkata kes pertama melibatkan mangsa berusia 66 tahun yang kerugian RM216,175 selepas menerima panggilan telefon daripada suspek yang menyamar sebagai pegawai polis pada 3 Jan lepas dan menyatakan terdapat aduan pada nombor telefon wanita itu.
Beliau berkata mangsa yang merupakan peniaga kedai runcit dan peneroka Felda itu turut diperdaya mempunyai barang terlarang, terlibat dengan aktiviti penggubahan wang haram serta satu waran tangkap telah dikeluarkan ke atasnya.
"Mangsa kemudiannya diarahkan untuk meletakkan kad ATM miliknya di lokasi yang diberikan setelah memasukkan semua wang ke dalam satu akaun kononnya bagi tujuan siasatan.
"Kerana takut, mangsa mengikut semua arahan suspek memindahkan wang simpanan ASB sebanyak RM83,000, Tabung Haji (RM51,000), hasil jualan barang kemas (RM24,733) ke dalam akaun tersebut selain wang dalam akaunnya itu juga lesap sebanyak RM57,442," katanya dalam kenyataan hari ini.
Yahaya berkata mangsa hanya menyedari ditipu setelah gagal mendapatkan semula wang yang dijanjikan dalam tempoh tujuh hari.
Dalam kes kedua pula, Yahaya berkata pesara guru berusia 62 tahun kerugian RM111,653 selepas terpedaya dengan mesej daripada suspek pada 14 Jan lepas, kononnya terdapat tunggakan bayaran kad kredit sebuah bank.
Beliau berkata mangsa diminta suspek untuk menghubungi nombor telefon yang diberikan dan diberitahu bahawa pesara guru itu telah memohon satu kad kredit dan membuat perbelanjaan sebanyak RM4,778.
"Mangsa menafikannya, namun diminta untuk menghubungi pegawai BNM sebelum diarahkan membuat pindahan wang ke akaun pihak ketiga. Terpedaya dengan arahan tersebut, mangsa melakukan 17 kali transaksi ke beberapa akaun diberikan kononnya bagi tujuan siasatan.
"Mangsa mengalami kerugian RM111,653 dan sumber kewangan adalah wang simpanan dan wang ganjaran pencen," katanya yang turut menasihati orang ramai agar membuat semakan dahulu dengan pihak polis atau agensi berkaitan bagi mengelak menjadi mangsa penipuan.
-- BERNAMA