Dua wanita Vietnam didenda RM2,000 tawar seks kepada polis

Sinar Harian
Julai 12, 2023 15:27 MYT
Dua wanita itu didakwa mencari langganan bagi persundalan dengan menawarkan perkhidmatan seks kepada anggota polis berpangkat koperal di sebuah bilik hotel di Taman Equine, Seri Kembangan. - Gambar hiasan
PETALING JAYA: Tindakan dua ibu tunggal warga Vietnam menawarkan perkhidmatan seks kepada seorang anggota polis berpangkat koperal, bulan lalu mengundang padah apabila mereka didenda masing-masing RM2,000 oleh Mahkamah Majistret di sini pada Rabu.
Tu Dong Thuy Hoa dan Thi Lan Giang masing-masing berusia 33 tahun, bekerja sebagai tukang urut, dikenakan hukuman itu selepas mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibaca di hadapan Majistret, Zhafran Rahim Hamzah.
Mahkamah memerintahkan mereka dipenjara dua bulan, jika gagal membayar denda berkenaan.
Mengikut pertuduhan, mereka didakwa mencari langganan bagi persundalan dengan menawarkan perkhidmatan seks kepada anggota polis berpangkat koperal di sebuah bilik hotel di Taman Equine, Seri Kembangan, pada jam 6 petang, 27 Jun lalu.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 372B Kanun Keseksaan yang membawa kepada hukuman penjara maksimum setahun atau denda, atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Semasa prosiding, peguam, Jasmine Faith yang mewakili kedua-dua tertuduh, merayu agar anak guamnya dikenakan hukuman berbentuk denda kerana perlu menanggung anak masing-masing.
“Mereka baru sahaja bekerja mula bekerja sebagai tukang urut selama dua hari namun ekoran kesalahan berkenaan, mereka telah direman selama 15 hari, sekali gus menjadikan perkara ini sebagai pengajaran," katanya.
Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Siti Maryam Jamilah Md Kamal memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran. - Sinar Harian
#wanita vietnam #pelacuran #tukang urut #keputusan mahkamah
;