Dua wanita sesak nafas, terperangkap dalam lif hotel

Sinar Harian
November 25, 2023 18:34 MYT
Anggota bomba mengambil masa hampir 20 minit untuk membuka pintu lif dan kesemua mangsa berjaya dibawa keluar. - Gambar/ Sinar Harian
MELAKA: Dua wanita mengalami sesak nafas selepas terperangkap dalam lif sebuah hotel di Banda Hilir di sini selama 20 minit pada Sabtu.
Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Melaka Tengah, menerima panggilan kecemasan daripada orang awam pada jam 10.12 pagi
Komander Operasi Pegawai Bomba Kanan (PBK) ll, KUP Omar Husein@Mohsin berkata, seramai tujuh anggota digerakkan ke lokasi kejadian bersama satu jentera dan kenderaan utiliti Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS).
Menurutnya, setiba di lokasi, pihaknya mendapati seramai 18 mangsa termasuk 16 lelaki dan dua wanita terperangkap dalam lif di antara tingkat 21 dan tingkat 22 hotel terbabit.
Menurutnya, anggota bomba mengambil masa hampir 20 minit untuk membuka pintu lif dan kesemua mangsa berjaya dibawa keluar.
"Tiada kecederaan dan kemalangan jiwa dilaporkan dan mangsa pengsan diserahkan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk mendapatkan rawatan lanjut di Hospital Melaka," katanya. - Sinar Harian
#terperangkap dalam lif #lif rosak #hotel #Melaka
;