Dua wanita Orang Asli dibantu Medevac dapatkan rawatan di hospital

Bernama
Mac 6, 2023 12:30 MYT
Unit Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat melakukan penerbangan pemindahan perubatan (Medevac) membawa dua wanita Orang Asli dari Pos Pasik untuk mendapatkan rawatan di Hospital Gua Musang, semalam. -Foto @BombaJBPM
GUA MUSANG: Unit Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) melakukan penerbangan pemindahan perubatan (Medevac) bagi membawa dua wanita Orang Asli yang mengalami sakit payudara bernanah dari Pos Pasik untuk mendapatkan rawatan di Hospital Gua Musang, semalam.
Pegawai Perhubungan Awam JBPM Pangkalan Wilayah Tengah Subang, Selangor, Timbalan Penguasa Bomba II, Mohd Hasrizal Kamaruzzaman berkata penerbangan menggunakan helikopter jenis Agusta Westland 189 membawa Kamsiah Ahing, 25, dan Zusana Jamily, 29, yang dilaporkan sakit sejak seminggu lalu.
"Pihak kami melaksanakan operasi tersebut selepas menerima laporan daripada Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) mengenai keadaan dua pesakit itu.
"Dua pesakit selamat tiba di pekarangan Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang pada pukul 11 pagi sebelum dihantar ke Hospital Gua Musang menggunakan ambulans selepas sejam 10 minit penerbangan dilakukan," katanya dalam kenyataan, hari ini.
-- BERNAMA
#payudara bernanah #Pos Pasik #Orang Asli #medevac
;