Dua wanita nyaris rentung, kereta dinaiki terbakar

Adie Sufian Zulkefli
Januari 23, 2024 09:00 MYT
Anggota bomba memadam kebakaran kereta Perodua Myvi yang dinaiki oleh dua wanita di Kampung Lubuk Tualang, Sik, Kedah, pada Isnin.
SIK: Dua wanita nyaris rentung selepas berjaya melompat keluar dari kenderaan apabila kereta dinaiki mereka terbakar secara tiba-tiba di Kampung Lubuk Tualang, di sini, pada Isnin.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sik, Penolong Penguasa Bomba Zulkhairi Mat Tanjil berkata, dalam kejadian jam 6.45 petang itu dipercayai berlaku apabila kereta jenis Perodua Myvi yang dipandu wanita berusia 40-an bersama rakannya terhidu bau hangit dari bahagian enjin kereta yang dinaiki mereka.
"Mereka nekad melompat keluar dari kenderaan itu untuk menyelamatkan diri sebelum kereta itu mengeluarkan api dan tiba-tiba terbakar.
“Api marak dengan cepat dan kedua-dua mereka tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya ketika dihubungi Astro AWANI hari ini.
Zulkhairi berkata, sepasukan anggota dari BBP Sik diketuai Syahril Salleh bersama lapan anggota mengambil masa 10 minit untuk kerja pemadaman api.
Beliau berkata, punca dan kerugian akibat kebakaran itu masih dalam siasatan dan kes diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
#nyaris rentung #kereta terbakar #Kampung Lubuk Tualang #Perodua Myvi terbakar
;