Dua wanita maut dalam nahas berasingan di Perak
Bernama
September 30, 2023 22:52 MYT
September 30, 2023 22:52 MYT
IPOH: Dua wanita maut dalam kemalangan berasingan di Jalan Bukit Gantang Kampung Sungai Jerai, Taping dan Jalan Parit 7 Sungai Manik, Teluk Intan hari ini.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak Sabarodzi Nor Ahmad dalam kenyataan berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kemalangan di Jalan Bukit Gantang Kampung Sungai Jerai itu pada 3.37 petang.
Beliau berkata selain wanita berusia 60 tahun yang meninggal dunia di lokasi kejadian, kemalangan membabitkan kereta jenis Honda City dan Perodua Myvi itu menyebabkan sembilan mangsa yang berusia tiga hingga 32 tahun cedera.
Menurut Sabarodzi kereta Honda City itu dinaiki enam individu manakala Perodua Myvi dinaiki empat orang.
"Anggota bomba mengeluarkan mangsa yang tersepit menggunakan peralatan khas dan mangsa yang meninggal dunia diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya," katanya.
Sabarodzi berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kemalangan di Jalan Parit 7 Sungai Manik pada 5.13 petang membabitkan sebuah kereta Toyota Avanza bertembung dengan Perodua Myvi.
Wanita yang maut belum dikenal pasti identitinya manakala dua lelaki dengan seorang daripadanya berusia 60 tahun cedera.
"Wanita itu yang menaiki Perodua Myvi disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pihak Kementerian Kesihatan dan mayatnya diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
"Anggota bomba mengeluarkan mangsa yang tersepit dengan menggunakan peralatan khas manakala seorang mangsa yang cedera dibawa ke hospital oleh Pasukan Perkhidmatan Penyelamatan Perawatan Kecemasan (EMRS)," katanya.
-- BERNAMA