Dua wanita cabar diri jelajah 24 negara Eropah selama 33 hari

Bernama
Januari 15, 2023 13:00 MYT
Gambar kenangan Hirza Hasniza dan Fasya Rafiqa ketika melawat Muzium Louvre di Paris, Perancis. - Foto Twitter/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Menjelajah 24 negara Eropah dalam tempoh 33 hari bukan perkara mudah, namun itulah yang berjaya dibuktikan dua sahabat Hirza Hasniza Mohd Jaluli dan Fasya Rafiqa Saice dari Sungai Besar, Selangor yang minat mengembara sejak kecil.
Melalui perancangan teliti dan disiplin yang tinggi, kedua-dua wanita berusia 27 tahun itu berjaya mencapai misi menjelajah 24 negara di benua Eropah pada 8 Nov tahun lepas setelah memulakan pengembaraan mereka pada 7 Okt.
Negara Eropah berkenaan meliputi bandar utama dan tempat tarikan pelancong di Switzerland, Perancis, England, Sepanyol, Iceland, Belgium, Belanda, Jerman, Denmark, Sweden, Estonia, Latvia, Lithuania dan Poland. Turut dilawati ialah Republik Czech, Slovakia, Austria, Hungary, Slovenia, Itali, Greece, Romania, Malta dan Vatican City.
Hirza Hasniza dan Fasya Rafiqa masing-masing membelanjakan RM15,000 sepanjang pengembaraan mereka bagi tiket pengangkutan dan penginapan.
Bercakap kepada Bernama, Hirza Hasniza berkata kembara ke negara Eropah itu dirancang secara teliti selama lima bulan dan keseluruhan penjelajahan dari satu negara ke negara lain banyak menggunakan pengangkutan awam seperti kereta api, bas, tren dan kapal terbang.
"Negara Eropah yang popular dan mempunyai banyak tempat tarikan pelancongan kami akan tinggal lebih dua hari seperti di Perancis, Itali dan Switzerland sementara ada negara yang kurang popular seperti Malta kami singkatkan lawatan kepada sehari.
"Ada juga pengembaraan seperti ke Estonia dan Latvia dibuat sehari sahaja kerana jarak kedua-dua negara berkenaan hanya kira-kira tiga jam dan tidak banyak tempat menarik yang boleh dikunjungi," katanya yang kisah kembara mereka turut tular dan dikongsi netizen dalam media sosial.
Pengurus sumber manusia di sebuah syarikat itu berkata tujuan beliau dan sahabatnya menjelajah banyak negara dalam waktu singkat, bukan seperti yang dilakukan kebanyakan pengembara lain yang tinggal lebih lama di sesuatu negara, adalah kerana trip kembara itu pengalaman pertama mereka ke negara berkenaan.
"Sebelum ini saya mendengar cakap-cakap orang, negara Eropah banyak tempat menarik, jadi saya mahu menilai dengan mata sendiri. Jadi, jika ada peluang kali kedua selepas ini, tentu saja saya boleh buat keputusan negara mana yang saya patut pergi," katanya yang sukakan keindahan semula jadi.
Sementara itu, Fasya Rafiqa yang berkongsi pengalaman sepanjang kembara itu berkata peristiwa yang tidak dapat dilupakannya ialah apabila telefon Iphone miliknya dicuri ketika dalam perjalanan dari Itali ke Switzerland.
"Semasa di bandar Milan, kami letakkan barang di tepi jalan sebelum menaiki keretapi api, tanpa disedari telefon yang diletakkan sekali dengan barang itu telah diambil orang. Ia berlaku sangat pantas, kami sudah pun berhati-hati.
"Walaupun dapat menjejaki lokasi Iphone yang telah dicuri itu dan berusaha nak mendapatkannya semula, saya pasrah, memikirkan tidak mahu perkara yang tidak diingini berlaku kemudian hari, apatah lagi berada di negara orang," katanya yang terpaksa membeli telefon baharu.
Sementara itu, seorang pengembara, Maslinda Supandi atau lebih dikenali Violet Biru menyifatkan dua sahabat itu bijak menyusun perancangan serta kekal bersama-sama mengharungi cabaran bersama, walaupun kembara seumpama itu padat dan memenatkan.
"Saya sangat kagum melihat lebih ramai pengembara wanita yang berani keluar daripada zon selesa dan belajar untuk bertahan di negara asing.
"Ternyata keterbatasan komitmen kerja tidak menghalang mereka untuk keluar melihat dunia. Semoga dengan perkongsian mereka ini dapat menyuntik lebih ramai anak muda untuk keluar mengembara melihat dunia sekali gus membuka minda," katanya yang telah berkunjung ke 42 negara.
-- BERNAMA
#jelajah #eropah #Hirza Hasniza Mohd Jaluli #Fasya Rafiqa Saice
;