Dua wanita bogel di Gunung Kinabalu tunggu hukuman Mahkamah Pribumi Ranau

Astro Awani
Jun 9, 2015 18:16 MYT
Pada 30 Mei lalu, sekumpulan 10 pelancong asing termasuk adik-beradik Petersen, dua warga Belanda dan seorang warga Jerman, telah bergambar di Gunung Kinabalu dalam keadaan berbogel. - Gambar fail
Dua wanita Kanada yang berbogel di Gunung Kinabalu pada 30 Mei lalu akan didakwa di Mahkamah Pribumi Ranau, lapor Borneo Post.
Seramai 10 ketua masyarakat akan mempengerusikan sidang mahkamah dan membuat keputusan tentang denda yang akan dikenakan terhadap pasangan adik-beradik Lindsey Petersen, 23, dan Danielle, 22.
Kedua-duanya telah dihalang daripada meninggalkan Malaysia.
Pengadilan di Mahkamah Pribumi Ranau akan melibatkan Ketua Daerah Ranau, Orang Kaya Kaya (OKK) Mohd Din Salingong, dan sembilan ketua pribumi telah diadakan pada jam 2 petang pada Isnin namun keputusannya belum dimuktamadkan.
Berdasarkan Enakmen Mahkamah Pribumi 1992, Mahkamah Pribumi Ranau boleh memerintahkan adik-beradik itu untuk hadir. Jika gagal melakukan sedemikian, pihak polis berkuasa untuk menahan seterusnya membawa mereka untuk dibicarakan.
Menurut Ketua Daerah Kota Kinabalu OKK William Majimbun, mahkamah pribumi seharusnya menjadi pihak berkuasa untuk mengendalikan kes 10 rakyat asing yang berbogel untuk bergambar di puncak gunung tersebut.
Memandangkan kes itu terjadi di Kundasang, Mahkamah Pribumi Ranau harus mengendalikan kes itu kerana setiap daerah mempunyai adat tersendiri.
“Sepatutnya ada perbicaraan di Mahkamah Pribumi Ranau, dan Mahkamah Pribumi akan membuat keputusan mengenai langkah yang perlu dibuat untuk memperbetulkan keadaan,” ujar Willliam.
Pada 30 Mei lalu, sekumpulan 10 pelancong asing termasuk adik-beradik Petersen, dua warga Belanda dan seorang warga Jerman, telah bergambar di Gunung Kinabalu dalam keadaan berbogel. Mereka juga sesuka hati membuang air kecil.
BACA: Pelancong berbogel di Gunung Kinabalu dihalang tinggalkan Sabah
BACA: Pelancong dikaitkan dengan kumpulan berbogel di Gunung Kinabalu ditahan polis
#bogel #Gunung Kinabalu #Mahkamah Pribumi #Ranau
;