Dua wad Hospital Pantai Klang terbakar, 30 pesakit dipindahkan
Afiezy Azaman
Oktober 11, 2021 09:17 MYT
Oktober 11, 2021 09:17 MYT
KUALA LUMPUR: Seramai 30 pesakit di dua buah wad dipindahkan susulan kebakaran berlaku di Hospital Pantai di Pesiaran Raja Muda Musa, Pelaburan Klang.
Menurut Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor, Norazam Khamis, turut dipindahkan 20 kakitangan hospital tersebut.
Bomba menerima panggilan pada 11.38 malam, pada Ahad sebelum menggerakan 13 anggota berserta jentera.
"Kebakaran melibatkan dua bilik wad dan telah dikosongkan.
“Pasukan bomba kemudiannya menggunakan konsep ‘receo’ iaitu membuat kerja menyelamat, memindahkan pesakit dan kerja pemadaman,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Norazam Khamis berkata kebakaran berjaya dikawal 10 minit kemudian.
"Operasi ditamatkan pukul 12.57 pagi dan punca serta jumlah kerugian masih dalam siasatan," ujarnya.