Dua varian terbesar COVID-19 di Sarawak tidak halang keberkesanan vaksin
Shafik Ahmad
Mac 13, 2021 20:35 MYT
Mac 13, 2021 20:35 MYT
KUCHING: Dua varian COVID-19 yang dikesan menular dengan pantas di Sarawak tidak akan mengganggu keberkesanan vaksin yang telah diluluskan penggunaannya di negara ini.
Pengarah Institut Kesihatan dan Perubatan Komuniti (IHCM), Universiti Malaysia Sarawak, Profesor Dr David Perera berkata, setakat ini tiada bukti makmal yang menunjukkan varian-varian tersebut akan menjejaskan keberkesanan vaksin yang kini disuntik kepada seluruh rakyat Malaysia.
"Ia tidak seperti varian B1.351 (pertama kali dikenal pasti di Afrika Selatan), B.I.1.7 (pertama kali dikenal pasti di United Kingdom), B.1.1.28.1 atau P.1 (pertama kali dikenal pasti di Brazil), B. 1.526 (pertama dikenali di New York) dan B.1.525 (pertama kali dikenal pasti di Nigeria) yang telah menimbulkan banyak kebimbangan.
"Varian-varian ini telah menunjukkan bukti peningkatan kebolehmudah, malah mungkin mengurangkan keberkesanan vaksin yang diluluskan pada masa ini," katanya menerusi satu laporan kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS).
Laporan tersebut dikongsikan Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sarawak, Datuk Seri Dr Sim Kui Hian menerusi hantaran facebooknya.
IHCM merupakan badan yang bekerjasama dengan JPBNS dalam memantau varian SARS-COV-2 yang beredar di negeri itu.
IHCM juga merupakan makmal ujian SARS-COV-2 di Sarawak, dengan sampel-sampel individu positif COVID-19 dihantar ke sini untuk diuji dan disiasat menerusi teknologi penjujukan generasi.
Ia bagi mengesahkan kehadiran virus SARS-COV-2 dan melengkapkan kod genetiknya.
Dr Perera berkata, siasatan kod genetik virus daripada individu berbeza yang dijangkiti telah menunjukkan sekurang-kurangnya dua varian berbeza yang beredar di Sarawak ketika gelombang ke-4 wabak COVID-19.
"Varian pertama menyerupai B1 ditemui di Sibu, berkait dengan kluster Pasai manakala Varian B.1.470 ditemui beredar di Kuching.
"Setakat ini, kluster Pasai merupakan kluster terbesar di Sarawak dan ujian makmal mengesahkan penemuan varian ini dj rumah panjang dan lokasi lain yang berpunca daripada kluster ini.
"Varian B.1.470 pula dikesan di Kuching dan di Sri Aman," katanya.
Tegas Dr Perera lagi, berdasarkan situasi itu, adalah perlu untuk orang ramai terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan garis panduan yang ditetapkan, terutamanya pemakaian topeng hidung dan mulut, menjaga kebersihan tangan dan mengamalkan penjarakan fizikal.
"Pematuhan SOP dan mengamalkan kebersihan akan membantu melambatkan penularan virus serta mengurangkan peluang varian masa depan untuk berkembang biak dalam masyarakat," tambahnya lagi.
#Varian COVID-19 Sarawak
#Sarawak
#vaksin COVID-19
#IHCM Unimas
#Prof Dr David Perera
#COVID-19
#rakyat
#kesihatan
#SOP
#Kuching
#Sibu