Dua vaksin Malaysia berada pada tahap bukti konsep - Dr Adham

Hasimi Muhamad
Ogos 30, 2021 12:52 MYT
Dr Adham berkata Malaysia mempunyai kepakaran tinggi dalam bidang biologi molekul, genomik dan teknologi, serta mampu mengorak langkah membangunkan pusat penyelidikan vaksin sendiri - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Dua vaksin yang dibangunkan oleh Institut Kajian Perubatan (IMR) sudah berada pada tahap bukti konsep atau 'proof of concept', kata Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr Adham Baba.
Beliau berkata, vaksin tersebut masing-masing dibangunkan dalam jenis virus ternyah aktif dan messenger ribonucleic acid (mRNA).
Sehubungan itu jelasnya, MOSTI ketika ini dalam proses melancarkan Pelan Hala Tuju Pembangunan Vaksin.
"Malah, mRNA sudah sampai ke peringkat pengklonan, dan akan ada proses-proses seterusnya.
"Jadi, untuk jenis ternyah aktif, proses menyah aktif virus yang terpilih dan juga penambahan bahan khas, iaitu adjuvant untuk meningkatkan tindak balas vaksin itu sendiri.
"Untuk jujukan genetik mRNA, kita dah sampai "proof of concept" dan sekarang ini dalam proses untuk in-vitro transcription," katanya dalam sidang media selepas membuat lawatan di Solution Biologics Sdn Bhd (SolBio), di sini pada Isnin.
Ia merupakan lawatan sulung Dr Adham selepas dilantik sebagai Menteri MOSTI.
SolBio, yang merupakan anak syarikat Solution Group Berhad telah menandatangani perjanjian produk pukal kepada produk siap bersama CanSino Biologics Inc. dari China untuk pembekalan vaksin Recombinant Ad5-nCoV, yang juga dikenali sebagai Convidecia.
Mengulas lanjut, Dr Adham berkata Malaysia mempunyai kepakaran tinggi dalam bidang biologi molekul, genomik dan teknologi, serta mampu mengorak langkah membangunkan pusat penyelidikan vaksin sendiri.
"Pembangunan dan penyelidikan (R&D) akan menjadi salah satu agenda utama MOSTI dalam memacu sains, teknologi dan inovasi supaya negara mempunyai keupayaan untuk menghasilkan vaksin sendiri bagi tujuan kesihatan dan keselamatan ekonomi negara," katanya.
Jelas beliau lagi, MOSTI akan turut memainkan peranan yang lebih agresif termasuk dalam penyediaan infrastruktur yang berkesan serta mengeratkan kerjasama antara industri dan penyelidikan untuk meningkatkan pembangunan kapasiti di Malaysia.
#Dr Adham Baba #MOSTI #COVID-19 #vaksin malaysia