Dua termasuk anggota polis maut kemalangan di Rompin
Noraniza Kamsani
November 22, 2018 20:27 MYT
November 22, 2018 20:27 MYT
Dua individu termasuk seorang anggota polis dari Unit Rondaan Bermotosikal (URB) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan maut selepas kenderaan yang mereka naiki bertembung di KM138 Jalan Kuantan-Segamat dekat Muadzam Shah, di sini, hari ini.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Pahang, Superintendan Kamarulzaman Jusoh, mangsa yang maut ialah Lans Koperal Raja Ahmad Faris Raja Mazlan, 29, dan pemandu lori, Wang Aji @ Wang Lip Hua, 69.
Menurutnya, kejadian jam 2 petang itu berlaku ketika kereta jenis Perodua Kancil yang dipandu Raja Ahmad Faris dari arah Segamat menghala ke Kuantan bertembung dengan lori jenis Toyota Dyna Hiace yang dipandu Wang Aji dari arah bertentangan.
"Ketika sampai di tempat kejadian, Perodua Kancil itu dipercayai hilang kawalan dan terbabas ke bahu jalan sebelah kiri, dalam masa yang masa kereta itu cuba semula masuk ke laluannya.
"Bagaimanapun, apabila berjaya masuk ke laluan, Perodua Kancil itu terus hilang kawalan lalu masuk ke jalan bertentangan sebelum bertembung dengan lori berkenaan," katanya dalam satu kenyataan media di sini hari ini.
Kamarulzaman berkata akibat kejadian itu, kedua-dua mangsa maut di tempat kejadian sebelum dihantar ke Hospital Muadzam Shah di sini untuk proses bedah siasat.
"Siasatan lanjut masih dijalankan dan saksi bebas juga diminta untuk tampil ke balai polis bagi membantu siasatan. Kes disiasat mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.
#Kamarulzaman Jusoh
#kemalangan
#Muadzam Shah
#Perodua Kancil
#Raja Ahmad Faris Raja Mazlan
#Toyota Dyna Hiace
#Unit Rondaan Bermotosikal
#URB
#Wang Aji
#Wang Lip Hua