Dua tebusan Malaysia di Algeria selamat pulang

Bernama
Januari 24, 2013 14:52 MYT
Kerajaan menerusi Kementerian Luar melahirkan rasa kesyukuran atas kepulangan dua rakyat Malaysia yang dijadikan tebusan di Kompleks Pengeluaran Gas dan Minyak (OGPC) In Amenas, timur Algeria pada 16 Jan lepas.
Kementerian tersebut dalam kenyataan hari ini berkata kerajaan menekankan kebajikan rakyat sentiasa menjadi keutamaan dan perlu dijaga terutama ketika menghadapi saat getir seperti insiden tersebut.
Menurut kenyataan itu, kedua-dua bekas tebusan iaitu K.Ravi dan Lau Seek Chiang yang tiba pada 2.15 petang di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) semalam disambut Timbalan Menteri Luar Datuk Richard Riot dan beberapa pegawai kementerian itu.
Kenyataan itu juga menyebut kedua-dua keluarga bekas tebusan itu memohon agar masyarakat menghormati privasi mereka dan memberi ruang agar kedua-duanya dapat memulihkan trauma yang dihadapi berikutan peristiwa getir tersebut.
Sementara itu, seorang lagi rakyat Malaysia, Chong Chung Ngen yang dilaporkan hilang semasa insiden tebusan tersebut disahkan terbunuh oleh Kedutaan Besar Malaysia di Algiers semalam.
Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman semalam berkata mengenai seorang lagi rakyat Malaysia yang masih hilang, Tan Ping Wee, kementeriannya menghantar seorang diplomat kanan untuk membantu kedutaan di sana bagi mempercepatkan usaha mencari, serta memastikan koordinasi yang diselaraskan dengan pihak berkuasa Algeria berjalan lancar.
Dalam insiden yang berlaku minggu lepas itu, lima rakyat Malaysia antara 130 pekerja dari pelbagai negara di OGPC In Amenas menjadi mangsa tebusan kumpulan militan.
Insiden itu dipercayai berpunca daripada balas dendam terhadap tindakan kerajaan Algeria membenarkan ruang udaranya digunakan pesawat tempur Perancis untuk menyerang pemberontak Islam di Mali.
#lau seek chiang #OGPC Amenas #Ravi Kappusamy #tebusan Algeria #tebusan di kompleks minyak dan gas
;