Dua tangan, kaki kiri ditemui di Simpang Ampat
Bernama
November 30, 2014 23:38 MYT
November 30, 2014 23:38 MYT
Dua belah tangan dan kaki kiri dari paras lutut hingga tapak kaki ditemui terapung di tali air belakang sebuah stesen minyak di Simpang Ampat, di sini hari ini.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang SAC Mazlan Kesah berkata anggota badan manusia itu ditemui pekerja stesen minyak tersebut pada 7 malam.
"Kaki kiri yang ditemui itu lengkap berseluar jeans biru dan ia sepadan dengan kaki kanan yang ditemui di tali air Jalan Kampung Permatang, Sungai Bakap semalam," katanya kepada pemberita di tempat kejadian, di sini.
Jarak antara Simpang Ampat dan Sungai Bakap kira-kira tiga kilometer dan polis percaya anggota badan itu milik warga asing kerana tiada suntikan BCG, katanya sambil memberitahu dua belah tangan dan kaki kiri itu dihantar ke Hospital Sungai Bakap.
Semalam, kaki kanan dari paras lutut hingga tapak kaki ditemui terapung di tebing tali air di Jalan Kampung Permatang, tidak jauh dari lokasi mayat seorang lelaki tanpa kepala, tangan dan kaki ditemui pada Khamis lepas.