Dua Taman Eko-Rimba di Perak dilengkapi EWS, peruntukan RM800,000

Amirrul Rabbani
Februari 27, 2023 16:13 MYT
Saarani sewaktu merasmikan Majlis Perasmian EWS Dan Kick-off Program Penghijauan Malaysia Kempen Penanaman 100 juta pokok 2023 di Taman Eko Rimba Kledang Saiong, di Ipoh pada Isnin. - Foto Astro AWANI
IPOH: Dua Sistem Amaran Awal Kepala Air (EWS) automatik telah siap dipasang di dua Taman Eko-Rimba di Perak iaitu di Taman Eko-Rimba Kledang Saiong di sini, dan Taman Eko-Rimba Lata Iskandar, Tapah.
Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad berkata pemasangan EWS masing-masing di dua kawasan berkenaan dilaksanakan dengan peruntukan RM800,000 oleh Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) pada tahun lalu.
Katanya ia juga bertujuan untuk menjadikan Taman Eko-Rimba di negeri ini sebagai destinasi ekopelancongan hutan yang selamat, selesa dan kondusif kepada para pelancong.
“Jadi dengan adanya sistem amaran awal ini, siren yang dibunyikan sekurang-kurangnya akan ingatkan pengunjung bahawa ada amaran bahaya (iaitu risiko kepala air akan berlaku dalam masa terdekat).
“Oleh itu, kepada pengunjung yang mendengar bunyi siren berserta amaran suara daripada sistem EWS ini, segeralah meninggalkan kawasan air terjun sebab kita tak tahu berapa kelajuan air itu akan turun.
“Ada setengah kawasan lata seperti di Lata Iskandar itu cerunnya lebih curam jika hendak dibandingkan dengan di Taman Eko-Rimba Kledang Saiong.
“Justeru kita berharap sistem ini dapat membantu meyakinkan orang ramai untuk berkunjung di kawasan-kawasan rekreasi seperti itu,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media selepas merasmikan Majlis Perasmian EWS Dan Kick-off Program Penghijauan Malaysia Kempen Penanaman 100 juta pokok 2023 di Taman Eko Rimba Kledang Saiong, di sini pada Isnin.
Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim, barisan Exco, serta Pengarah Jabatan Perhutanan Perak, Datuk Mohamed Zin Yusop.
Selain itu Saarani berkata Jabatan Perhutanan Negeri akan membuat penilaian kos sebelum membuat permohonan kepada NRECC bagi menaik taraf EWS di lima Taman Eko-Rimba lain daripada sistem manual kepada automatik.
“Terdapat 13 Taman Eko-Rimba di seluruh Perak namun tujuh daripadanya dikenal pasti sebagai kawasan yang sering dikunjungi ramai selain kerap berlaku fenomena kepala air,” katanya lagi.
Sebelum itu ketika berucap pada majlis itu, Mohamed Zin berkata EWS di Taman Eko-Rimba Kledang Saiong dan Taman Eko-Rimba Lata Iskandar yang berfungsi secara automatik mampu mengesan fenomena kepala air dalam tempoh awal 5 ke 10 minit.
Katanya ‘sensor’ pada stesen kawasan yang diletakkan di hulu dan hilir sungai itu akan mengesan perubahan paras air sungai serta mengukur kadar taburan hujan semasa.
Tambahnya, sekiranya paras air sungai berada pada paras waspada atau bahaya, siren amaran akan berbunyi diikuti dengan pengumuman amaran secara automatik.
“Pengunjung juga boleh mengakses sistem ini dengan memuat turun aplikasi sistem EWS Jabatan Perhutanan Negeri bagi menilai keadaan semasa dan tahap keselasaman di sesuatu Taman Eko-Rimba,” jelasnya.
Difahamkan apabila amaran ‘waspada’ pertama dikeluarkan, pihak pentadbir Jabatan Perhutanan Negeri, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM), Jabatan Pertahanan Awam, Polis Diraja Malaysia akan menerima notifikasi awal dalam bentuk ‘Telegram Bot’, bagi mengetahui keadaan semasa amaran yang dikeluarkan.
#Sistem Amaran Awal Kepala Air #EWS #Saarani Mohamad #Taman Eko-Rimba
;