Dua tahun tragedi MH17: Malaysia gesa JIT hantar laporan segera

Rahimah Abdullah
Julai 16, 2016 16:03 MYT
LIOW: Saya dapat tahu hanya dua keluarga sahaja (yang belum membuat tuntutan). Rundingan dengan mereka masih berjalan. - Gambar fail
Malaysia menggesa Pasukan Siasatan Bersama (JIT) tragedi Malaysia Airlines Penerbangan MH17 agar mempercepatkan hasil laporan siasatan bagi mengheret pihak yang bertanggungjawab ke muka pengadilan.
Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, kerajaan sentiasa komited dalam memastikan keadilan terhadap mangsa nahas kapalterbang MH17 itu.
"Saya harap pasukan JIT dapat menghantar laporan mereka segera bagi menentukan siapa sebenarnya perpetrator dalam isu tragedi MH17. Kita nak dapatkan keadilan untuk mangsa MH17," katanya merujuk kepada pasukan yang dianggotai Australia, Brazil, Belgium, Belanda dan Ukraine itu.
"Kerajaan sentiasa komited terhadap isu ini bagi mencari kebenaran, keadilan untuk mangsa MH17," kata Liow pada sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Koperasi Serbaguna Malaysia (KSM) di Wisma MCA, di sini hari ini.
Malaysia, katanya, tidak akan melepaskan apa jua peluang untuk mencari kebenaran termasuk memastikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dapat mengadakan perjumpaan dengan rakan sejawatannya dari Rusia, Vladimir Putin.
"Saya yakin Perdana Menteri juga berusaha untuk mendapatkan banyak maklumat bagi menyelesaikan isu ini kerana sehingga sekarang tiada orang yang mahu bertanggungjawab terhadap insiden tembak jatuh MH17," tambahnya.
Dalam pada itu, Liow mengingatkan mana-mana ahli keluarga mangsa MH17 agar membuat tuntutan pampasan dengan kadar segera.
"Saya ingin ingatkan kalau mereka tidak membuat tuntutan selepas dua tahun berdasarkan Konvensyen Montreal, maka mereka tidak akan dapat membawa mana-mana pihak ke mahkamah," ujarnya lagi.
Tegasnya, ahli keluarga mangsa hanya mempunyai tempoh sehingga 17 Julai untuk membuat tuntutan berkenaan.
"Saya tidak pasti sebab (mereka tidak melakukan tuntutan), namun memandangkan tempoh (dua tahun) sudah dekat, anggota jawatankuasa MAS sedang berusaha untuk menyelesaikan semua masalah berbangkit," katanya.
Sehubungan itu, Liow berkata, semua ahli keluarga telah dihubungi bagi membuat tuntutan tersebut dengan secepat mungkin.
"Saya dapat tahu hanya dua keluarga sahaja (yang belum membuat tuntutan). Rundingan dengan mereka masih berjalan. Pihak MAS sedang melakukan perbincangan dengan mereka," kata beliau.
Pada 17 Julai 2015, Lembaga Keselamatan Belanda (DSB) merumuskan dalam siasatannya bahawa pesawat jenis Boeing 777 tersebut terkena peluru berpandu buatan Rusia, BUK.
Ia dilancarkan dari wilayah dikuasai pemberontak pro-Rusia tanpa menyatakan pihak yang bertanggungjawab dalam nahas itu setahun sebelum itu.
Namun, Rusia kemudiannya menafikan perkara itu dan meminta Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) membuka siasatan baharu terhadap nahas pesawat MH17.
Penerbangan MH17 ditembak jatuh semasa dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur pada 17 Julai 2014.
#laporan siasatan #Liow Tiong Lai #MH17 #Pasukan Siasatan Bersama
;