Dua tahun tak balik beraya, sayu, sebak semakin terasa tatkala Syawal menjelang

Ridauddin Daud
Mei 11, 2021 06:11 MYT
Keluarga Zainai Izuddin kecil. Kini hanya tinggal ibu, dia dan adik perempuannya beraya di Rembau, Negeri Sembilan dan buat kali kedua, Hari Raya Aidilfitri tetap suram di kampungnya.
PETALING JAYA: Pasti ramai merindui kenangan menjamah lemang, ketupat dan rendang di pagi raya, bertemankan ibu bapa dan keluarga di kampung.
Tahun ini, sama juga seperti tahun lepas, hanya kenangan diharap mampu mengukir senyuman, mengubat kerinduan yang tidak terperi kepada ibu bapa yang setia menanti.
Mungkin ada yang tidak begitu terkesan tapi bagi sesetengah orang, pagi raya bersama ibu bapa adalah makna sebenar Hari Raya Aidilfitri.
Bagi mereka, tidak lengkap rasanya sambutan Syawal kalau tidak pulang ke kampung, bersalaman di pagi raya, memohon maaf atas salah dan silap.
Kini, semuanya tiada maka tidak hairanlah ramai tidak berminat beli baju baru, hanya kitar semula baju lama kerana bagi mereka, raya seolah-olah kurang bermakna tanpa keluarga.
Bagi Mohamad Hafizi Mohd Said, 31, setiap tahun dia akan menyediakan kelengkapan raya buat keluarga namun tahun ini, dia hanya sempat mengirim wang, tidak dapat membeli-belah bersama.
Begitupun, ayat ibunya yang tidak mahu baju raya sebaliknya mahu dirinya berada di kampung benar-benar meruntun jiwanya.
"Bagi saya benda itu sedikit sebak sebab itu permintaan dia. Dia kata, abang, mak tak nak baju raya, kuih raya, mak nak abang balik sebab dah dua tahun tak balik raya dengan mak.
"Sampai saya terpaksa letak panggilan tu sebab sebak. Kalau saya menangis, dia akan lagi sebak," katanya kepada Astro AWANI.
Kerinduan Syawal | Sayu, sebak dua tahun tak beraya bersama keluarga
Sementara itu, Kakitangan Awam, Zainal Izuddin Saharudin berkata, ibunya tidak lagi memasak rendang daging kegemarannya sejak tahun lepas memandangkan dia tidak dapat balik ke kampung.
Keluarganya kecil, kini hanya tinggal ibu, dia dan adik perempuannya beraya di Rembau, Negeri Sembilan dan buat kali kedua, Hari Raya Aidilfitri tetap suram di kampungnya.
"Saya faham dan dia tahu bahawa perkara ini bukan main-main dan disengajakan. Jadi dia akan cakap tak boleh balik tak mengapa.
"Tapi jaga diri elok-elok, buatlah persiapan kalau nak beli baju raya, belilah. Jangan risau kat mak, mak OK je dengan adik. Raya pertama nanti tu kita telefon sajalah," ujarnya.
Panggilan video mungkin boleh menjadi pengganti diri namun ‘feelnya’ tidak sama, kerinduan juga tidak dapat diluah sepenuhnya.
Salam, peluk, cium tangan dan dahi ibu bapa, itulah yang didambakan umat Islam di Malaysia yang sudah dua kali tidak dapat menyambut 1 Syawal bersama keluarga.
Sebelum mengakhiri temu bual, mereka sempat menitipkan ucapan buat keluarga:
"InsyaAllah bila semua dah kembali pulih, mungkin tahun hadapan kita boleh beraya sama-sama lagi. Selamat Hari Raya Aidilfitri, maaf zahir dan batin," kata Mohamad Hafizi.
Zainal Izuddin pula berkata:
"InsyaAllah, doa-doakanlah pada tahun hadapan, kita ada rezeki untuk beraya. Sama-samalah kita patuh SOP ye mak.
"Kalau ada rezeki, ada peluang, kita jumpa lagi. Selamat hari Raya Aidilfitri, maaf zahir dan batin" ujarnya.
Semoga tahun depan, semuanya kembali seperti biasa.
#syawal #Raya #Hari Raya Aidilfitri #Aidilfitri #video #hari raya #Negeri Sembilan #Rembau #kuih raya #ketupat #Astro Awani #SOP #Islam #keluarga #ramadan2021
;