Dua tahun simpan hasrat nak jumpa PM
Astro Awani
April 24, 2016 21:50 MYT
April 24, 2016 21:50 MYT
Hasrat seorang kanak-kanak yang mengidap penyakit kelainan hati atau Allagile Syndrome untuk bertentang mata dengan Perdana Menteri akhirnya tercapai.
Keceriaan jelas terpancar di wajah Addi Asyraaf Mohamad Missbahhuddin, 6, sebaik sahaja Datuk Seri Najib Tun Razak bersama isteri Datin Seri Rosmah Mansor tiba di kawasan kediaman rumahnya di kampung Bintawa,Tengah Kuching kira kira jam 3.40 petang Ahad.
Najib kemudiannya meluangkan masa kira-kira 30 minit bersama Addi dan keluarganya.
Menurut ibunya Zurina Jamil, Addi mula menyimpan hasrat itu sejak dia melihat gambar Najib yang ditampal di kelas Pra Sekolahnya di SK Matu Baru Kuching.
Namun dia sedar impian anaknya itu sukar ditunaikan menyedari hakikat jadual Perdana Menteri yang begitu padat dan sibuk.
"Saya pernah saya cakap pada Addi permintaan ini terlalu berat, mak tak mampu nak tunai. Hendak jumpa PM bukan senang, beliau banyak urusan,
"Bila mendapat berita yang Perdana Menteri sudi meluangkan masa untuk menunaikan hasrat anaknya, saya amat bersyukur kerana permintaan Addi Asyraaf telah ditunaikan," katanya.
Mengulas lanjut, sebaik dimaklumkan hasrat anak kedua daripada dua beradik itu, Zurina tidak henti-henti berusaha menunaikan impian anaknya itu.