Dua tahun sepi, Aidiladha 2022 meriah di Rumah Pengasih
Ridauddin Daud
Julai 10, 2022 16:42 MYT
Julai 10, 2022 16:42 MYT
HARI pertama Aidiladha, masjid di seluruh negara pastinya sibuk dengan acara korban, meraikan hari mulia dengan meriah selepas lebih dua tahun ‘dibelenggu’ Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Selesai solat sunat Aidiladha, ramai yang menukar persalinan baju Melayu kepada pakaian lebih selesa bagi membantu kerja-kerja menyembelih dan melapah haiwan korban di kawasan masing-masing.
Seluruh negara, begitulah keadaannya dan sama juga di Rumah Pengasih di Jalan Syers, Kuala Lumpur yang turut sama sibuk pada hari pertama Aidiladha.
Dua tahun tiada sambutan meriah Aidiladha di sana, tahun ini kemeriahannya terasa dengan bukan sahaja penghuni, bekas penghuni turut sama hadir meraikannya.
Tahun ini, dua ekor lembu dan dua ekor kambing dikorbankan, diuruskan semuanya oleh kakitangan dan penghuni Rumah Pengasih.
Bagi Presiden Pengasih, Ramli Abd Samad, dia gembira ibadah korban disambut meriah pada tahun ini dan berharap semangat dan pengajaran di sebalik hari mulia itu menjadi pembakar semangat buat penghuni Rumah Pengasih.
“Bagi residen, ini masa untuk mereka menilai semula diri iaitu sempena korban, berkorban untuk mengawal diri, mengawal nafsu, mengawal keinginan terhadap penggunaan dadah.
“Kedua, hari ini juga adalah untuk mereka melihat contoh-contoh daripada alumni yang datang, yang telah hidup seperti orang biasa, membuktikan bahawa mereka boleh berubah dan mereka juga boleh hidup seperti orang biasa.
“Ketiga, ia juga untuk keluarga, supaya mereka melihat ada harapan, anak-anak mereka, ahli keluarga mereka juga boleh berubah,” katanya kepada Astro AWANI ketika ditemui pada majlis tersebut.
Tambahnya, sungguhpun terpisah lebih dua tahun, ukhuwah penghuni dan bekas penghuni masih akrab dan kemesraan mereka dapat dilihat apabila berkumpul bersama seperti pada hari ini.
Dalam pada itu, Penasihat Undang-Undang dan Pemegang Amanah Pengasih, Dr Mohamad Ismail Yunus menyifatkan ibadah korban dan majlis korban pada tahun ini mencapai objektifnya.
“Pertama, kita cuba nak pastikan semua alumni kita mempunyai azam untuk jadi orang berguna kepada agama, bangsa dan negara.
“Kedua, kita mahu semua bersatu hati. Kita dapat mewujudkan kesatuan hati kita dan satu lagi, kita dapat menjalankan aktiviti-aktiviti atau program selari dengan mesyuarat yang kita buat.
“Dengan adanya tiga perkara ini, insya-Allah ukhuwah Islamiah dapat dicapai dan segala agenda kerajaan dapat kita bantu secara tidak langsung,” ujarnya.