Dua suspek tetak isteri 'Datuk' dibebas dengan jaminan polis
Bernama
Disember 30, 2015 18:42 MYT
Disember 30, 2015 18:42 MYT
Dua lelaki yang ditahan reman kerana disyaki terlibat dalam kes menetak seorang wanita warga emas dengan parang sehingga maut di Taman Lake View, pada 11 Disember lepas, dibebaskan dengan jaminan polis, tengah hari ini.
Timbalan Ketua Polis Daerah Taiping Supt Ismail Che Isa berkata kedua-dua suspek berusia 25 dan 32 tahun yang ditahan reman pada 18 Disember itu dibebaskan pada pukul 12.20 tengah dari lokap Balai Polis Taiping.
"Bagaimanapun siasatan akan diteruskan. Kami akan menyiasat untuk mendapatkan bukti lain. Polis juga sedang dalam usaha mengesan saksi lain berhubung kes ini.
"Masih belum ada tangkapan baharu setakat ini," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Selain itu, seorang wanita berusia 78 tahun dan seorang lelaki berusia 57 tahun yang turut ditahan sebelum ini dibebaskan dengan jaminan polis masing-masing pada 17 dan 24 Disember.
Dalam kejadian 11 Disember lepas, seorang wanita berusia 68 tahun, dipercayai isteri kedua kepada pesara bergelar 'Datuk' maut selepas ditetak dengan parang di bahagian belakang leher di rumahnya kira-kira pukul 7.30 malam.
Ketika kejadian, mangsa dan suaminya dikunjungi saudara perempuan berusia 78 tahun bersama pekerjanya seorang lelaki berumur 57 tahun dan sebaik mereka berada di dalam rumah, dua lelaki memakai topeng dan bertopi kaledar meluru masuk ke rumah tersebut.
Seorang suspek bertindak mengikat suami mangsa dengan kain selendang tetamu wanita itu manakala tetamu lelaki diugut dengan parang diletakkan di lehernya.
Mangsa dibawa ke bilik tidur oleh kedua-dua suspek sebelum tetamu lelaki itu ke bilik tidur berkenaan dan mendapati mangsa meninggal dunia dalam keadaan berlumuran darah.