Dua suspek samun berparang di Banting kecundang

Bernama
Oktober 10, 2024 20:43 MYT
Polis menahan dua lelaki di sekitar Sungai Sedu, Banting pada Rabu malam kerana disyaki terlibat dengan kejadian samun di sebuah rumah di Banting dua hari lepas. - Foto hiasan
SHAH ALAM: Polis menahan dua lelaki di sekitar Sungai Sedu, Banting pada Rabu malam kerana disyaki terlibat dengan kejadian samun di sebuah rumah di Banting dua hari lepas.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Supt Ahmad Ridhwan Mohd Nor berkata dalam kejadian kira-kira 4.30 pagi Selasa seorang wanita berdepan detik cemas apabila rumahnya dimasuki dua lelaki bertopeng bersenjatakan parang.
Beliau berkata, suspek mengikat tangan wanita itu sebelum melarikan pelbagai barang berharga dan wang tunai dari rumah berkenaan.
"Kedua-dua suspek berumur 30 dan 21 tahun itu kemudiannya berjaya ditahan sepasukan anggota polis Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kuala Langat bersama Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor pada pukul 8.15 malam (Rabu) tadi.
"Semakan mendapati kedua-dua suspek masing-masing mempunyai 11 dan tujuh rekod jenayah lampau dengan seorang daripadanya yang mempunyai dua rekod kesalahan dadah, berstatus dikehendaki polis," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Ahmad Ridhwan berkata polis turut merampas dua bentuk cincin emas serta peralatan yang digunakan untuk memecah rumah daripada suspek, dan kedua-dua mereka kini direman lima hari bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.
--BERNAMA
#kejadian samun #tahanan polis #Banting Selangor #jenayah #suspek bersenjata
;