Dua suspek pencemaran Sungai Batang Benar ditahan polis

Astro Awani
Oktober 7, 2020 12:15 MYT
Acryl Sani Abdullah Sani berkata, suspek yang berusia 20 dan 30 tahun itu ditahan di Kota Bharu, Kelantan. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Dua lelaki disyaki terlibat dengan pencemaran Sungai Batang Benar, Negeri Sembilan sehingga berlaku gangguan bekalan air di Selangor ditahan pada Selasa.
Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, suspek yang berusia 20 dan 30 tahun itu ditahan di Kota Bharu, Kelantan.
Katanya, kedua-dua suspek itu ditahan selepas maklumat orang ramai menjurus kepada penglibatan mereka dalam pencemaran itu.
"Walaupun demikian, kita masih menunggu laporan penuh soal siasat kerana suspek baharu ditahan tengah hari semalam (Selasa) di Kota Bharu dan sekarang dalam perjalanan ke Nilai memandangkan kes ini disiasat di Negeri Sembilan (Ibu Pejabat Polis Kontinjen).
"Jadi berilah sedikit masa untuk kita siasat, KIta tidak boleh terburu-buru atau tergesa-gesa kerana ia melibatkan kes yang sensitif," katanya pada sidang media di Maktab Polis Diraja Malaysia (PDRM) di sini, pada Rabu.
Terdahulu, Acryl Sani merasmikan Seminar Pengukuhan Siasatan Jenayah Komersil dan pelancaran portal dan aplikasi Semak Mule.
Siasatan terhadap lelaki itu djalankan mengikut Seksyen 430 Kanun Keseksaan.
Ahad lalu, sebanyak 309,687 akaun pengguna di 274 kawasan membabitkan empat daerah iaitu Petaling, Hulu Langat, Kuala Langat dan Sepang di Selangor mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual susulan pencemaran air mentah di Sungai Semenyih.
Ketua Komunikasi Korporat, Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), Elena Baseri berkata, Loji Rawatan Air (IRA) Semenyih dan Bukit Tampoi terpaksa dihenti tugas sepenuhnya berikutan insiden pencemaran itu.
#pencemaran #air mentah #gangguan bekalan air #Kota Bharu #Kelantan #Acryl Sani Abdullah Sani #suspek #Sungai Batang Benar
;