Dua suspek kes pukul warga Myanmar sudah ditahan
Sinar Harian
September 17, 2022 06:15 MYT
September 17, 2022 06:15 MYT
IPOH: Dua lelaki yang disyaki terlibat dalam kes pergaduhan hingga menyebabkan kecederaan kepada seorang warga Myanmar di Bandar Baru Menglembu pada Jumaat, berjaya ditahan polis.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, suspek berusia 26 dan 38 tahun ditahan dalam dua serbuan berasingan.
"Kami berjaya menahan suspek masing-masing di Menglembu dan Jalan Bidor, Buntong sekitar jam 2.30 hingga 3 petang hari ini (Sabtu).
"Reman kedua-dua suspek akan dimohon pada Ahad bagi membantu siasatan," katanya di sini pada Sabtu.
Menurutnya, usaha mengesan seorang lagi suspek masih diteruskan dan kes disiasat mengikut 324 Kanun Keseksaan.
Sinar Harian melaporkan seorang lelaki warga Myanmar berusia 44 tahun cedera di kepala dan tangan akibat dipukul sekumpulan tiga individu dengan menggunakan kayu dan kerusi.
Rakaman video ketiga-tiga suspek yang mengejar mangsa hingga ditemukan terbaring dalam longkang berhampiran sebuah kedai makan turut tular di media sosial.
Siasatan awal mendapati mangsa disyaki mengganggu dan melakukan provokasi terhadap ketiga-tiga suspek yang sedang makan serta minum di kedai tersebut. -Sinar Harian