Dua strain virus Zika dikenal pasti - Dr Subramaniam
Tan Su Lin
September 14, 2016 15:56 MYT
September 14, 2016 15:56 MYT
Kementerian Kesihatan mengenal pasti dua jenis strain virus Zika di Malaysia.
Menurut Menterinya, Datuk Seri Dr S. Subramaniam, virus daripada kes pertama di Taman Botani, Klang didapati adalah sama dengan jenis virus di Brazil.
Manakala kes kedua di melibatkan seorang lelaki di Likas, Sabah adalah virus jenis tempatan.
"Kes pertama di Taman Botani mungkin kes import dari Singapura dan virus itu adalah sama dengan apa yang kita panggil virus "French Polynesia" iaitu virus daripada luar, bukan sini.
"Tetapi bagi kes kedua di Likas, Sabah virus itu mungkin virus yang sama dengan virus Zika yang telah dikesan dalam negara pada masa dahulu. Ia adalah virus jenis Micronesia," ujar beliau.
"Ini menunjukkan terdapat dua jenis strain virus dalam kalangan kita. Satu virus import dan satu jenis tempatan," katanya dalam satu sidang media khas Zika di sini, hari ini.
Ditanya mengenai risiko virus tempatan, ia dipercayai mempunyai risiko sama seperti virus Zika Brazil.
"Walaupun kita pernah ada kes virus Zika yang dilaporkan di Malaysia sebelum ini, tetapi kami belum mengenalpasti sebarang kaitan berhubung komplikasi kepada manusia kerana jumlahnya juga sedikit jadi sukar untuk dipastikan.
"Bagaimanapun, adalah lebih baik untuk menganggap bahawa risikonya adalah sama. Dengan itu, sekurang-kurangnya kita mengambil langkah pencegahan," katanya.
Setakat ini, jumlah kes jangkitan Zika di negara ini, kekal enam orang.
Tambah Dr. Subramaniam, pihaknya telah menjalankan pemeriksaan ke atas 79 suspek kes Zika sejak 1 September dan semuanya didapati negatif virus itu.