Dua sindiket ah long terbesar di Pahang tumpas
Noraniza Kamsani
November 4, 2019 16:03 MYT
November 4, 2019 16:03 MYT
Polis Pahang bersama polis Bukit Aman berjaya menumpaskan dua sindiket pemberi pinjaman wang tidak berlesen atau ah long terbesar di negeri itu menerusi Ops Vulture yang dilancarkan pada 30 Oktober lepas.
Timbalan Ketua Polis Pahang, Datuk Mohd Yusri Hassan Basri berkata, dua kumpulan ah long terbabit bergiat aktif menawarkan pinjaman wang secara haram di Pahang sejak lima tahun lalu.
Seramai 14 individu termasuk dua wanita berumur antara 18 hingga 42 tahun yang berasal dari Pahang, Selangor, Johor, Pulau Pinang dan Kedah, berjaya ditahan bersama barang rampasan dengan anggaran bernilai RM1.01 juta dan antara yang dirampas ialah lapan buah kenderaan, tiga utas jam tangan, 31 telefon bimbit dan komputer riba.
"Sepasukan polis dari bahagian operasi bantuan teknik serta bahagian risikan jabatan jenayah kormesial Bukit Aman bersama-sama Jabatan Siasatan Jenayah Komersil IPK Pahang telah melakukan enam siri serbuan serentak dan berjaya menumpaskan dua kumpulan bersindiket pemberi pinjaman wang tidak berlesen di kawasan bandar Kuantan dan kawasan Mentakab Pahang.
"Hasil siasatan pihak polis mendapati sindiket ah long ini bergiat aktif sejak tahun 2016 di daerah Kuantan dan Temerloh. Faedah bayaran balik dikenakan adalah sebanyak 18 peratus dan ke atas bergantung komitmen bayaran balik dari peminjam," katanya dalam sidang media di sini hari ini.
Sindiket yang bergiat aktif di daerah Kuantan dan Temerloh itu menyasarkan penjawat awam, orang-orang persendirian yang tidak mempunyai pekerjaan tetap tetapi mahu mendapatkan wang dengan cara mudah, sebagai mangsa.
Mohd Yusri berkata polis Pahang mendapati selain dua kumpulan ah long terbesar ini, masih ada lagi kumpulan ah long lain yang sedang menjalan operasi dan kegiatan mereka adalah dalam pemantauan pihak polis.
Kaedah sindiket ini mendapatkan pelanggan adalah secara terbuka dengan mengedarkan kad pinjaman wang, menerusi aplikasi Facebook, Whatsapp dan pemidang yang digantung pada pokok di sekitar kawasan perumahan dan di tepi-tepi jalan jalan tumpuan ramai.
Dalam pada itu, beliau berkata, enam kertas siasatan telah dibuka dan akan disiasat mengikut Seksyen 5 (2) Akta Pemberi Pinjaman Wang Tanpa Lesen 1951.
Empat belas individu terbabit yang ditahan reman sehingga Rabu ini, jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak kurang RM250,000 tetapi tidak melebihi RM1 juta atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.
#Ah Long
#Bukit Aman
#haram
#jenayah
#Mohd Yusri Hassan Basri
#operasi
#Ops Vulture
#penjawat awam
#sindiket pemberi pinjaman haram
#Timbalan Ketua Polis Pahang