Dua sepupu maut dalam kemalangan di Kota Tinggi
Bernama
November 28, 2016 10:24 MYT
November 28, 2016 10:24 MYT
Dua sepupu terbunuh dalam kemalangan di KM26 Jalan Lok Heng-Mawai berhampiran sebuah kuari di Kota Tinggi, dekat sini, semalam.
Kedua-dua mangsa dikenali sebagai Muhammad Fakhri Aufa Muhamad Faidz, setahun dan Nur Natasya Nabiela Abdullah, 11.
Kejadian kira-kira 5.30 petang itu turut mengakibatkan ibu Muhamad Fakhri Aufa iaitu Norsuhadah Ramli, 30, serta kakak tirinya Aleesya Nur Jasmin Abdullah, 5, cedera parah di kepala dan kini dirawat di Hospital Sultan Ismail.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Supt Rahmat Othman berkata, kemalangan dipercayai berpunca apabila kereta jenis Perodua Kancil yang dipandu Norsuhadah dari arah Kota Tinggi ke Felda Lok Heng, melanggar lubang di bahu kiri jalan.
Pelanggaran itu menyebabkannya hilang kawalan lalu terbabas ke ladang sawit berhampiran dan terbalik.
"Akibat daripada kemalangan itu, anak lelaki Norsuhadah iaitu Muhammad Fakhri Aufa serta anak saudaranya (Nur Natasya Nabiela) mati di tempat kejadian manakala yang lain cedera parah," katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.
Menurut beliau, keadaan di tempat kejadian adalah jalan lurus dua hala dengan cuaca cerah ketika itu.
Siasatan masih diteruskan di bawah Seksyen 41(1)(A) Akta Pengangkutan Jalan 1987. -- Bernama