Dua sepupu lemas, bot karam di Sungai Perak
Abd Razak Mohd Ali
Oktober 16, 2023 18:25 MYT
Oktober 16, 2023 18:25 MYT
LUMUT: Dua sepupu ditemui lemas selepas bot yang mereka naiki dipercayai karam akibat arus deras di muara Sungai Perak, Kayan, dekat sini tengah hari Isnin.
Kedua-dua mangsa yang bekerja sebagai nelayan dikenali sebagai Mohamad Afandy Mamosati dan Mohd Amirul Azril Mohd. Shafiee, masing-masing berusia 34 tahun.
Difahamkan, ketika kejadian, mereka dalam perjalanan membawa bot dari Jeti Sungai Tiram, Lekir, balik ke Kampung Sejagop, Kota Setia, untuk dibaiki selepas bot itu mengalami kerosakan.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 7.58 pagi.
Menurutnya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sitiawan tiba di Jeti Kayan pada pukul 8.40 pagi.
"Tindakan operasi pasukan ialah membuat pencarian di permukaan di kawasan mangsa dipercayai terjatuh," katanya di sini hari ini.
Menurutnya, mangsa ditemui dalam keadaan terapung oleh nelayan pada pukul 1.45 tengah hari tidak jauh dari kawasan mereka dipercayai terjatuh.
Katanya, mangsa disahkan maut oleh pasukan perubatan dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Operasi yang diketuai Pegawai Bomba Kanan I Tajol Arif Ahmad tamat jam 1.55 tengah hari.