Dua sepupu ditahan cuba seludup dadah ketika PKP

Shuhada Abdul Kadir
Januari 18, 2021 13:53 MYT
Abdul Majid berkata, siasatan mendapati, kedua-duanya merupakan saudara sepupu yang berasal dari Selangor. - Foto Astro AWANI
MELAKA: Tindakan dua lelaki menyeludup dadah melalui laluan tikus ke Melaka ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) gagal selepas ditahan pihak polis berhampiran Jalan Sekitar Tanjung Kling di sini pada 14 Januari lalu.
Suspek pertama berusia 39 tahun ditangkap ketika cuba melarikan diri dengan mencampakkan beg berisi 15 bungkusan dadah seberat lebih 15 kilogram bernilai RM2.4 juta sebaik sahaja terserempak dengan anggota polis yang melakukan rondaan pada pukul 7.05 malam pada hari berkenaan.
Ketua Polis Melaka Datuk Abdul Majid Mohd Ali berkata, lelaki terbabit yang berjalan kaki bertindak mencampak beg yang dibawanya ketika dihampiri anggota polis.
"Pemeriksaan ke atas beg itu menemukan 15 bungkusan mampat yang dipercayai dadah serta wang tunai,” katanya pada sidang media, di sini pada Isnin.
Beliau berkata hasil siasatan lanjut ke atas penganggur itu, polis menangkap seorang lagi suspek berusia 37 tahun di Bukit Puchong, Selangor serta menyita wang tunai RM21,800 pada 4 pagi semalam.
Siasatan mendapati, kedua-duanya merupakan saudara sepupu yang berasal dari Selangor dan kesemua dadah dirampas dipercayai untuk pasaran tempatan.
Katanya, polis turut menyita wang tunai keseluruhan bernilai RM25,200 dan sebuah kereta pacuan empat roda jenis Toyota Hilux.
"Saringan ujian air kencing mendapati kedua-dua suspek negatif penyalahgunaan dadah. Bagaimanapun mereka kini direman tujuh hari bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.
#Polis Melaka #Sepupu ditahan #Seludup dadah #Syabu #Ketua Polis Melaka #Datuk Abdul Majid Mohd Ali
;