Dua senario boleh berlaku jika Tun Mahathir jadi Perdana Menteri semula - PM Najib

Rahimah Abdullah
Februari 23, 2018 18:12 MYT
Najib:Tidak mungkin Tun Mahathir akan membenarkan seorang yang bermasalah moral menjadi Perdana Menteri
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menjangkakan dua senario yang boleh berlaku jika Tun Dr Mahathir Mohamad sekali lagi memegang jawatan nombor satu negara.
Pertama, tegasnya, bekas Perdana Menteri itu tidak akan melepaskan jawatannya kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana Dr Mahathir sebelum ini mengatakan semua pemimpin lain tidak betul.
"Memetik kata-kata Tun pada tahun 2016, tidak mungkin beliau akan membenarkan seorang yang bermasalah moral menjadi Perdana Menteri.
"Malah Tun juga pernah mengatakan yang Datuk Seri Anwar sudah terlalu tua untuk memimpin negara dan pastinya PKR akan memberontak sekiranya Tun memilih untuk membolot kuasa," katanya dalam entri terbaharunya di laman blog rasminya di najibrazak.com.
Jika sebaliknya, keadaan kedua mungkin akan memperlihatkan jawatan Perdana Menteri dan timbalannya akan disandang Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
"Senario kedua, kalaulah Dr Mahathir memilih untuk u-turn dan melepaskan jawatan beliau kepada Anwar sekali pun, akibatnya jawatan Perdana Menteri dan timbalannya, akan disandang oleh sepasang suami isteri. Inilah nepotisme tahap paling kritikal yang diamalkan mereka," ujarnya lagi.
Najib berkata, pencalonan Tun Mahathir sebagai Perdana Menteri dan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai timbalannya oleh Pakatan Harapan menunjukkan betapa rapuhnya kepimpinan tertinggi mereka sekiranya dibiarkan memerintah.
Beliau turut meramalkan jika pembangkang menang pilihan raya, mereka akan kekal sibuk merebut jawatan Perdana Menteri selama dua ke tiga tahun sebelum mereka dapat memulakan kerja untuk berkhidmat kepada rakyat.
"Namun jika rakyat memberi mandat kepada BN, kami dapat memulakan khidmat bakti untuk rakyat serta-merta selepas pilihan raya kerana kita mempunyai barisan kepimpinan yang kukuh lagi mampan," tambah Najib.
#2016 #Anwar Ibrahim #Azizah #Barisan Nasional #blog #Dr Wan Azizah Wan Ismail #Mahathir Mohamad #menteri #Najib Razak #Pakatan Harapan #pembangkang #Perdana Menteri #pilihan raya #PKR #rakyat #Wan Azizah #Wan Azizah Wan Ismail
;