Dua sekolah pendidikan khas di Perak turut terima ancaman bom
Abd Razak Mohd Ali
November 24, 2023 13:40 MYT
November 24, 2023 13:40 MYT
IPOH: Selain dua buah sekolah antarabangsa, dua buah sekolah pendidikan khas di Perak turut menerima ancaman bom sejak Selasa.
Ketua Polis Perak Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, dua sekolah khas itu, satu di Sitiawan, yang menerima ancaman pada Selasa, dan satu lagi di Taiping, yang menerima ancaman pagi ini.
Menurutnya, dua sekolah antarabangsa pula, masing-masing sebuah di Ipoh dan Kampar.
Katanya, kesemua ancaman itu diterima pihak sekolah menerusi akaun emel yang tidak dikenal pasti yang menggunakan modus operandi sama seperti berlaku di negeri-negeri lain.
"Meskipun ancaman bom ini negatif, siasatan lanjut tetap dijalankan.
“Laporan-laporan telah dihantar kepada Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman untuk tindakan lanjut," katanya pada sidang akhbar kejayaan Op Tapis Khas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di sini hari ini.
Media melaporkan, sebanyak 51 kes ancaman bom palsu melibatkan 51 sekolah di sembilan negeri dilaporkan setakat ini dengan laporan paling tinggi diterima di Selangor iaitu 18 kes.
Mengulas lanjut, Mohd Yusri berkata, walaupun setakat ini ancaman itu negatif, polis tidak memandang ringan perkara itu kerana ia membabitkan kepentingan awam terutama di sekolah.
Menurutnya, tindakan seperti pengosongan dan pembersihan keselamatan di kawasan sekolah terlibat, dilakukan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang sepatutnya.
"Polis tidak ambil mudah dalam perkara ini. Sekiranya terima laporan ancaman bom, kita tanganinya sepertimana SOP, termasuklah menghantar Unit Pemusnah Bom (UPB) dan Unit Anjing Pengesan K9," tambahnya.